suria

Letupan Bom: Sembilan Cedera Di Narathiwat

BANGKOK: Sembilan orang cedera bila sebutir bom yang dicampakkan ke dalam sebuah restoran meletup di daerah Rusak, Narathiwat, pada Rabu.

Jurucakap polis berkata mereka yang cedera termasuk kanak-kanak, pelajar, guru dan anggota polis.

Dalam satu kejadian lagi hari ini, dua orang renjer cedera dalam letupan bom tepi jalan ketika mereka meronda di Ranget, Narathiwat. Sementara itu di Pattani, sebuah pasaraya, sebuah 'departmental store' dan dua mini-market juga menjadi sasaran bom pada sebelah pagi. Ketua Polis Pattani Major Jen Pichet Pitisetchapan berkata empat gedung perniagaan terbakar akibat pengeboman berasingan itu bermula di pasaraya berkenaan pada jam 1.30 pagi.

"Nampaknya golongan pemberontak telah menukar taktik dengan mensasarkan pusat perniagaan yang menjejas ekonomi tempatan dan bukan lagi petugas awam terutama pegawai keselamatan sebagaimana berlaku di Pattani pada masa lepas," kata beliau.

Lebih 5,000 orang terkorban sejak kumpulan pemisah melancarkan kempen bersenjata kerana memperjuangkan kemerdekaan tiga wilayah selatan - Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lalu. -BERNAMA

Artikel Lain