suria

Banjir Terus Landa Bahagian Barat Bangkok

BANGKOK: Banjir di ibu negara ini terus merebak ke bahagian barat dan bergerak perlahan menuju pusat bandaraya ekoran sedikit limpahan air Sungai Chao Phraya.

Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra pada Sabtu mengarahkan penduduk di daerah Thawi Wattana di bahagian barat Bangkok berpindah memandangkan air terus naik.

Sebelum ini, penduduk di bahagian Utara Bangkok iaitu daerah-daerah Don Mueang dan Sai Mai serta daerah Bang Phlad di bahagian barat dipindahkan. Banjir telah merebak ke kawasan lain di Barat Bangkok hari ini seperti Charon Santiwong, Chinatown dan Talad Thai, pasar buah-buah dan sayuran segar terbesar di bandaraya ini. Beberapa kawasan di daerah Bang Khen di bahagian Barat Bangkok masih digenangi air sejak semalam.

Daerah Thon Buri yang hampir dengan pusat bandaraya, terus kritikal selepas ditenggelamai air pada paras antara 50sm dan 1 meter sejak semalam.

Pusat Bandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi belum terjejas oleh banjir ketika ini.

Pusat Operasi Pemulihan Banjir (FROC), pusat operasi utama kerajaan di daerah Don Mueang hari ini berpindah ke Energy Building Complex di Vibhavadi Road, di sini, selepas bebanyakan daerah Mueang teruk ditenggelami air.

Kira-kira satu pertiga dari kawasan negara terus ditenggelami air, dengan 2.4 juta penduduk dari 10,000 kampung di 26 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda Thailand secara berperingkat mulai 25 Julai lepas.

Artikel Lain