suria

Panglima TNI Akui Tiada Wilayah Indonesia Diambil Oleh Malaysia

JAKARTA: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono pada Jumaat memberitahu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bahawa tidak ada wilayah Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat, yang diambil oleh Malaysia.

Katanya para anggota TNI mengawal wilayah perbatasan di Kalimantan Barat sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia dan kesemua pos penjagaan di perbatasan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan.

"Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya," kata beliau pada satu sesi perjumpaan dengar pendapat dengan Suruhanjaya I DPR di sini, Jumaat.

Katanya penegasan itu adalah berdasarkan laporan dari Panglima Daerah Tentera XII Tanjungpura, Maj Jen TNI Geerhan Lantara, yang telah melakukan tinjauan di kawasan yang didakwa berlakunya perbuatan itu.

Isu sempadan Malaysia-Indonesia ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1.500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram.

Sebelum ini, empat menteri Indonesia sendiri termasuk Menteri Luar Marty Natalegawa, dilaporkan menafikan dakwaan itu.

Suhartono juga berkata laporan oleh media tempatan mengenai pengambilan wilayah Indonesia oleh Malaysia di kawasan terbabit telah memberi kesan psikologi kepada anggota tentera Indonesia bertugas mengawal sempadan di kawasan itu.

"Laporan-laporan berita ini seolah-olahnya mengecilkan tugas dan menidakkan peranan prajurit TNI di kedua-dua kawasan itu. Prajurit gundah kerana seolah-olah mereka tidak menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa anggota TNI sering mengadakan rondaan bersama dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di wilayah perbatasan yang berkaitan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anak Gaddafi Ditangkap Di Sirte

Artikel Lain