suria

Banjir Mindanao Ragut 14 Nyawa

DAVAO (Filipina): Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam banjir besar diakibatkan oleh hujan lebat yang melanda penduduk di kawasan sungai dekat selatan Filipina, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Hujan lebat itu menenggelamkan sebahagian besar bandar Davao di Pulau Mindanao pada malam Selasa, lalu menyebabkan aras air sungai Matina naik dan kemudian banjir melanda penduduk di tebing sungai.

"Seramai 14 orang disahkan terkorban manakala 10 orang lagi dilaporkan masih hilang," kata seorang pegawai Jabatan Pertahanan Awam Negeri, Fidel Quintana.

Jurucakap tentera kawasan itu, Leftenan Marianette Vinluan berkata sebanyak 15,000 keluarga yang kebanyakannya daripada golongan miskin terpaksa dipindahkan dari kawasan rumah mereka.

Menurutnya, pasukan tentera telah dihantar ke kawasan terjejas untuk melakukan operasi menyelamat dan membantu mangsa dengan kebanyakan rumah masih ditelenggami aras air yang tinggi pada pagi Rabu.

Minggu lalu ribut tropika Maeri menyebabkan banjir besar berlaku dan seramai 90,000 penduduk di Manila dan kawasan berdekatan terpaksa dipindahkan. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain