suria

Lima Terkorban Selepas Pengganas Serang Pakistan

KHAR: Lima orang awam terbunuh apabila beratus anggota militan bersenjata menyeberangi sempadan dari Afghanistan ke Pakistan pada Khamis dan menyerang sebuah kampung di sini, menurut sumber kerajaan Pakistan.

Itu merupakan serangan yang ketiga dilaporkan dilancarkan oleh militan di wilayah yang sama bulan ini,

Penyerang mensasarkan perkampungan Mamoond dekat daerah Baujar walaupun terdapat pos kawalan keselamatan didirikan di kawasan itu untuk mengawasi kegiatan pengganas Taliban.

"Lebih kurang 250-300 anngota militan menyerang penduduk di Mamoond. Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di mana dua daripadanya adalah wanita," beritahu pegawai kerajaan tempatan, Fazle Akbar kepada pemberita.

Menurutnya, tiga mangsa lain yang kesemuanya adalah wanita mengalami kecederaan dalam serangan itu.

"Kami telah menghantar pasukan tentera dan separa tentera ke kawasan tersebut selepas kami menerima laporan bahawa masih terdapat kumpulan pengganas di situ,"kata seorang pegawai keselamatan.

"Beberapa orang anggota militan itu juga terbunuh apabila pasukan tentera membalas serangan tapi bilangan kematian itu belum dapat dipastikan," katanya.

Pakistan meminta Afghanistan dan tentera NATO yang diketuai Amerika Syarikat menghapuskan kumpulan dan aktiviti pengganas di wilayah timur Afganistan supaya kejadian serangan yang mengorbakan banyak nyawa rakyatnya dapat dihentikan.

Lebih dari 4,000 orang terbunuh di seluruh Pakistan disebabkan serangan-serangan yang didakwa dilakukan Taliban dan beberapa rangkaian puak pelampau sejak empat tahun lepas. -AFP

Artikel Lain