suria

Projek Baru Pencipta Harry Potter Cetuskan Keterujaan Di Alam Maya

LONDON: Para peminat tegar Harry Potter kini tertanya-tanya apakah misteri di sebalik posting terbaru yang dilancarkan oleh pencipta ahli sihir itu, JK Rowling yang menunjukkan seekor burung hantu membawa mesej "Akan Datang...Pada 23 Jun ini."

Yang pasti, Rowling sendiri menafikan ia ada kaitan dengan filem terakhir Harry Potter - "Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 2".

Para peminat tegar siri itu tertanya-tanya dengan penuh keterujaan semalam (Khamis) selepas Rowling melancarkan satu laman web yang penuh misteri yang sedang menghitung hari kepada pelancaran projek barunya itu.

Jurucakap Rowling mengesahkan bahawa ia bukanlah satu projek buku baru mahupun berkaitan dengan filem terbaru dan terakhir Harry Potter.

Para pelayar internet yang melayari laman web pottermore.com disambut oleh dua ekor burung hantu dengan mesej yang berbunyi... "Akan Datang...".

Dan satu klik ke atas burung hantu itu akan membawa anda ke laman Youtube dengan kemunculan sebuah jam yang sedang menghitung hari sehingga 23 Jun di mana pengumuman mengenai projek itu akan diumumkan.

Terdapat juga kata-kata; "Burung-burung hantu sedang berhimpun...cuba teka kenapa" turut mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai apa yang bakal muncul pada 23 Jun nanti.

Jurucakap Rowling, Rebecca Salt berkata: "Ya ia memang satu projek baru oleh JK Rowling tetapi ia bukanlah sebuah buku baru mahupun ada kaitan secara langsung dengan filem Harry Potter."

Tanda niaga "Pottermore" adalah milik Warner Bros, iaitu pengedar filem-filem Harry Potter.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain