suria

Askar Israel Tembak Dua Warga Palestin

DEIR QADDIS: Askar Israel dilaporkan melepaskan tembakan terhadap dua rakyat Palestin yang bertindak melempar batu, dengan dua askar juga dilaporkan cedera dalam pertempuran di Tebing Barat.

Serangan itu berlaku di perkampungan Deir Qaddis, di barat laut Ramallah, apabila kumpulan rakyat Palestin melancarkan protes terhadap penduduk setinggan yang didakwa menceroboh kampung mereka.

Tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan peluru hidup beberapa kali selepas seorang daripada anggotanya diserang penduduk Palestin. “Seorang askar cedera semasa menangani keganasan di Deir Qaddis selepas dilempar dengan batu di kakinya.

"Penyerang semakin bertindak ganas dengan membaling lebih banyak objek dan batu ke arah anggota kami," kata jurucakap tentera Israel.

Sementara itu, Datuk Bandar Deir Qaddis, Faris Nasser, berkata tunjuk perasaan itu tercetus bagi membantah pencerobohan tanah penduduk oleh sekumpulan setinggan Yahudi berhampiran perkampungan Nili sejak seminggu lalu.

“Dalam kejadian itu, dua cedera akibat ditembak peluru hidup dan berpuluh lagi cedera," katanya. -AFP

Artikel Lain