suria

Rakyat China Boleh Mengaku Beri Rasuah Di Internet

SHANGHAI: Beberapa laman web di China menjadi pilihan bagi pemberi rasuah merasuah kepada pegawai kerajaan, demikian menurut media tempatan pada Khamis.

Laman-laman web tersebut berinspirasikan sebuah laman web anti rasuah dari India yang dipanggil "I Paid A Bribe".

Sekurang-kurangnya lapan laman web yang sama dilancarkan sejak Jumaat, lapor akhbar China Daily.

Laman-laman web berkenaan yang memaparkan jumlah rasuah setiap hari mengajak pengguna Internet untuk memberitahu amaun rasuah yang dibayar dan peristiwanya tetapi mengarahkan pencerita tidak memberitahu identiti anggota kerajaan yang terlibat.

"Kami membongkar rasuah namun menentang pelanggaran privasi," beritahu Zahang Zhongguo, pekerja sebuah syarikat Internet di Beijing yang membangunkan laman web sama yang dinamakan "I made a bribe", kepada China Daily.

Laman sesawang itu mendapat perhatian sebanyak 60,000 pelawat pada tiga hari pertama ia dibuka.

Dalam satu pengakuan, seorang pelawat memberitahu dia memberi sogokan kepada seorang hakim untuk menyebelahinya dalam perbicaraan manakala seorang lagi berkata dia memberi seorang anggota polis trafik satu karton rokok untuk mengurangkan denda yang dikenakan terhadapnya, kata laporan tersebut.

Pengendali laman-lam web akuan tersebut mengakui mereka tidak dapat memastikan kesahihan pengakuan-pengakuan yang diberikan dan akan memadamkan pengakuan yang boleh menjatuhkan maruah individu-individu tertentu.

Kementerian Pengawasan yang bertindak sebagai pemerhati disiplin kerajaan mengesahkan kepada pemberita yang mereka sedar tentang kewujudan laman web sebegitu namun enggan memberi sebarang ulasan. -AFP

Artikel Lain