suria

Pengganti Osama Bakal Musuh Utama AS

WASHINGTON: Sesiapa sahaja yang bakal menggantikan Osama Bin Laden dalam kepimpinan Al-Qaeda akan menjadi musuh ketat nombor satu yang baru Amerika Syarikat (AS), tegas Pengarah CIA Leon Panetta.

Sungguhpun ramai pihak menjangkakan timbalan Osama, Ayman a-Zawhiri bakal mengambil alih kedudukan itu, namun tarikhnya masih belum jelas dan dia sendiri mungkin lebih bimbangkan keselamatan dirinya selepas tentera AS melancarkan operasi khas yang berjaya menewaskan Osama.

"Dia merupakan calon utama dalam senarai," kata Panetta yang merujuk kepada Ayman, dalam satu rancangan televisyen CBS, Selasa.

Panetta menegaskan, sehingga pemimpin baru al-Qaeda diumumkan secara rasmim, Amerika Syarikat dijangka mengambil kesempatan mengawal keadaan sekarang.

"Kami berpendapat bahawa situasi ini memberikan peluang kepada kami untuk terus menyerang mereka ketika mereka masih dalam kebingungan dan bertelagah tentang siapa yang bakal menggantikan Osama," katanya.

"Dan sesiapa sahaja yang dipilih, akan menjadi musuh ketat nombor satu dalam senarai kami, tegasnya.

Kedudukan tempat persembunyian Osama di sebuah kawasan luas di bandar garison Abbotabad, di utara Islamabad telah menimbulkan spekulasi meluas bahawa kerajaan Pakistan sebenarnya maklum tentang kedudukan pemimpin Al-Qaeda itu.

Panetta berkata, sungguhpun AS tidak mempunyai maklumat perisikan mengenai perkara itu, tetapi mendesak Pakistan memberikan penjelasan lanjut memandangkan kawasan itu berhamnpiran dengan sebuah akademi tentera elit, dan Osama berada di situ sejak lima tahun.

Ditanya sama ada Pakistan harus dilabelkan sebagai negara pengganas, Panetta mengakui bahawa hubungan AS-Pakistan adalah agak rumit tetapi sebarang bentuk hubungan ia tidak patut diputuskan. - AFP

Artikel Lain