suria

LV Kuasai Bulgari Dalam Perjanjian Bernilai Hampir Euro 2 Bilion

PARIS: LVMH - pemegang dan pemilik jenama eksklusif dunia termasuk minyak wangi, fesyen dan barangan perhiasan diri mengumumkan Isnin bahawa ia akan mengambil alih kepentingan di dalam produk terkemuka Itali iaitu Bulgari dalam satu perjanjian bernilai hampir Euro 2 bilion.

Pengumuman itu telah melonjakkan saham Bulgari sebanyak 60 peratus.

Perjanjian itu dicapai dengan ahli keluarga Bulgari yang telah mencipta dan mengawal penguasaan ke atas jenama tersebut sejak tahun 1884 lagi.

LVMH juga akan menawarkan kepada para pemegang saham Bulgari sekurang-kurangnya Euro 12.25 untuk seunit saham.

Sebagai balasan hasil daripada perjanjian ini, keluarga Bulgari akan menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam kumpulan LVMH sekaligus menyaksikan mereka mempunyai dua orang wakil di dalam lembaga pengarah syarikat.

Sementara Bulgari dalam satu kenyataannya menegaskan bahawa mereka melihat LVMH dan pemiliknya berbangsa Perancis, Bernard Arnault sebagai peneraju masa hadapan yang diperlukan untuk menjamin masa depan jenama berkenaan.

LVMH, yang menghasilkan jenama-jenama seperti minyak wangi Givenchy, Dior dan Guerlain di samping Moet, Chandon dan Dom Perignon champagne, adalah merupakan pengeluar jenama mewah terbesar dunia.

Para penganalisa berkata, Bulgari akan membantu memperkukuhkan LVMH dalam sektor barangan kemas dan jam tangan, iaitu dua bidang yang dianggap lemah oleh LVMH.

Barangan kemas mewah dan jam tangan mewah dilihat sebagai produk yang menghasilkan keuntungan yang tinggi dalam dunia fesyen dan gaya hidup.

Malah dengan penguasaan ke atas Bulgari, mereka kini dilihat boleh bersaing secara serius dengan Cartier.

Bulgari berada di ranking ketiga dunia dalam barangan kemas selepas Cartier dan Tiffany.

LVMH juga sebelum ini telah membeli dan menguasai kepentingan dalam jenama Hermes.

Artikel Lain