suria

15,000 Hadiri Pengebumian Menteri Kristian Pakistan Yang Ditembak Mati

KHUSHPUR (Pakistan): Lebih 15,000 orang berkumpul dan menghadiri majlis pengebumian seorang menteri kabinet kerajaan Pakistan beragama Kristian yang mati ditembak Rabu lalu.

Menteri Hal Ehwal Minoriti, Shahbaz Bhatti, 42, mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali ketika beliau keluar meninggalkan kediaman ibunya di ibu negara Pakistan, Islamabad.

Di bawah pengawasan sekuriti yang ketat Bishop Lahore, Alexander Malik, berucap di hadapan beribu hadirin bahawa kematian menteri muda berkenaan melambangkan betapa ekstremisme akan menghancurkan Pakistan sebagai sebuah negara.

Lebih 2,500 anggota polis dikerahkan berkawal sepanjang tempoh majlis pengebumian itu berlangsung kerana bimbangkan serangan ke atas penganut agama Kristian.

Sementara itu, di Gereja Fatima Islamabad, Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani dan seluruh anggota kabinet kerajaan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ahli politik Roman Katolik itu.

Gilani, yang telah mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara menyifatkan kematian Shahbaz sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

"Beliau bekerja keras untuk keharmonian pelbagai agama serta kepercayaan dan kerajaan akan berusaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kematiannya ke muka pengadilan," ujar Gilani lagi.

Abang Shahbaz, Peter berkata, adiknya itu telah bekerja sepanjang hidupnya untuk membantu rakyat miskin. Kematiannya akan dirasai oleh golongan miskin di seluruh negara.

Pakistan mempunyai 167 juta penduduk dengan penganut agama Kristian sebagai kumpulan minoriti membentuk populasi yang tidak sampai tiga peratus pun.

Artikel Lain