suria

Sebahagian Kerosakan Pada Christchurch Akan Dibiarkan...

WELLINGTON: Kerosakan akibat gempa bumi yang melanda Christchurch bulan lalu tersangat teruk sehinggakan kerajaan New Zealand pada Selasa memutuskan untuk membiarkan sebahagian daripada kerosakan tersebut tanpa sebarang baik pulih, kata Perdana Menteri, John Key.

Key mengesahkan bahawa 10,000 rumah terpaksa dimusnahkan sama sekali akibat gempa bumi berukuran 6.3 skala richter itu. Seratus enam puluh enam orang telah disahkan terkorban dalam gempa bumi tersebut.

"Ini adalah satu hakikat...bahawa kita harus menerima kenyataan akan terdapat rumah atau bangunan yang tidak mungkin akan dapat dibina semula termasuklah beberapa jalan, lorong dan lain-lain lagi,” katanya dalam siaran Radio New Zealand pada Selasa.

Key berkata, jurutera geoteknikal kini sedang membuat penilaian bahagian manakah dalam bandar Christchurch yang boleh dibangunkan semula dan bahagian mana yang tidak mungkin akan dapat dibina semula.

Ini kerana katanya, terdapat bahagian tertentu yang telah bertukar menjadi tanah jerlus akibat daripada gempa bumi tersebut. Di bahagian yang mana tanah telah bertukar menjadi pasir jerlus, pihak berkuasa tidak akan mengambil risiko membenarkan pembinaan semula dilakukan kerana ia amat berbahaya kepada nyawa.

Ini sekali gus memberi indikasi bahawa akan terdapat bahagian-bahagian tertentu dalam bandar kedua terbesar di New Zealand itu yang akan bertukar menjadi “bandar hantu” iaitu bandar yang ditinggalkan kosong.

Kenyataan ini amat nyata sekali bukan sahaja membimbangkan para pemilik kediaman dan pejabat tetapi juga pengusaha hartanah di negara itu.

Malah terdapat firma hartanah yang telah menerima panggilan tanpa henti daripada orang ramai yang bertanyakan nasib hartanah mereka di kawasan yang mungkin akan menerima berita buruk tidak dibenarkan pembangunan semula.

Bagaimana pun Key berkata, kerajaannya sedang menimbang kemungkinan untuk memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang terpaksa berpindah akibat kehilangan hartanah ekoran daripada keputusan untuk tidak membenarkan pemilik membina semula bangunan di kawasan yang dikenalpasti sebagai berbahaya untuk pembinaan semula.

Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker pula berkata, kenyataan mengenai keputusan terbaru kerajaan itu hanyalah sebagai satu peringatan awal dan beliau menggesa orang ramai supaya menunggu sehingga pakar-pakar geoteknikal selesai menjalankan penilaian mereka sebelum memikirkan apakah tindakan seterusnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain