suria

14 Enjin Rolls Royce A380 Terjejas

MELBOURNE: Sebanyak 14 enjin Rolls Royce pada pesawat A380 Qantas perlu diperiksa dan mungkin digantikan, kata Ketua Eksekutif syarikat penerbangan itu, Alan Joyce.

Beliau berkata Rolls Royce membayangkan kira-kira 40 enjin A380 perlu ditukar di seluruh dunia.

Syarikat itu menjangka untuk mengetahui dalam masa dua hari tentang jumlah enjin yang perlu dikeluarkan dari pesawatnya bagi Rolls Royce membuat pengubahsuaian. "Rolls Royce sedang menyiapkan kriteria untuk menentukan enjin-enjin yang perlu ditukar," kata Joyce kepada pihak media di Sydney Khamis.

"Kami akan mengadakan dialog harian dengan Rolls Royce untuk menentukan enjin mana yang benar-benar perlu ditukar," jelasnya seperti yang dilaporkan oleh Australian Associated Press.

Qantas menghentikan perkhidmatan enam pesawat A380nya pada 4 November selepas berlaku kebakaran pada satu daripada enjin Rolls Royce Trent 900nya semasa penerbangan di ruang angkasa Indonesia.

Kebakaran itu memanaskan bahagian-bahagian logam dan menyebabkan motornya pecah sebelum pesawat itu kembali dengan selamatnya ke Singapura. Empat hari kemudian, kata syaikat itu, pemeriksaan menunjukkan kebocoran minyak yang mencurigakan pada enjin tiga pesawat A380 yang dihentikan perkhidmatannya itu. Kata Joyce kapasiti syarikat itu susut empat peratus disebabkan oleh pemberhentian perkhidmatan itu.

Qantas akan mendapatkan pampasan daripada Rolls Royce apabila pesawat A380 itu mengadakan penerbangan semula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain