suria

Datuk Bandar Chennai Berkunjung Ke KL Minggu Depan Muktamadkan Program Berkembar

CHENNAI: Delegasi 10 anggota dari Chennai, akan tiba di Kuala Lumpur minggu depan untuk memuktamadkan cadangan menjadikan kedua-dua bandar raya itu sebagai "bandar berkembar."

Delegasi dari India itu, yang diketuai oleh Datuk Bandar Chennai M. Subramaniam, akan tiba di Kuala Lumpur pada 25 Nov bagi menghadiri majlis memeterai perjanjian berkenaan.

"Program berkembar ini akan membantu menjalin hubungan yang lebih baik antara kedua-dua bandar raya, terutamanya dalam bidang kebudayaan, pendidikan dan pelancongan.

"Kami juga akan meneliti pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang semakin berkembang dan berkemungkinan mengambil sebahagian daripada penemuan kami untuk dijadikan contoh," kata Subramaniam kepada Bernama.

Ogos lepas, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melawat Chennai, di mana perbincangan peringkat tertinggi diadakan dengan pegawai negeri Tamil Nadu untuk mengusahakan program perkongsian bandar raya berkembar itu.

Satu memorandum persefahaman ditandatangani antara para pegawai Chennai dan Kuala Lumpur susulan perbincangan yang membuahkan hasil itu.

Beribu-ribu pelancong dan aktiviti perdagangan keluar masuk menerusi Chennai dari India ke Malaysia dan sebaliknya, oleh itu menjadikannya gerbang di selatan yang penting untuk ke Kuala Lumpur dan Asia Tenggara.

Chennai, ibu kota Tamil Nadu dan dikategorikan sebagai sebuah "bandar raya global" disebabkan kepentingannya daripada segi ekonomi antarabangsa, adalah bandar raya kelima paling padat penduduk di India, iaitu kira-kira 4.6 juta orang.

Chennai, yang sebelum ini dikenali sebagai Madras, popular dengan gelaran "Kollywood" India kerana industri pembikiran filemnya yang dinamik dan mempunyai banyak peminat di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain