suria

Jerman Mahu Tingkat Kerjasama Saintifik Dengan Malaysia

STUTTGART: Baden-Wurttemberg, sebuah negeri di Jerman, berhasrat meningkatkan kerjasama saintifik dengan Malaysia, terutama dalam bidang teknologi pengeluaran.

Menteri Sains, Penyelidikan dan Seni negeri itu, Prof Dr Peter Frankenberg berkata, ini terutamanya melibatkan universiti dan industri bagi kedua-dua pihak, memandangkan perusahaan kecil dan sederhana Jerman (PKS) yang lebih dikenali sebagai "mittelstand", meninjau rakan kongsi di Asia bagi tujuan itu.

"Fokus utama usaha bersama ini ialah dalam teknologi pengeluaran baru dikenali sebagai kilang masa depan," kata beliau kepada wartawan Malaysia dan Singapura, mendahului misi perdagangan negeri itu ke Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Delegasi perdagangan dengan 150 anggota itu akan diketuai oleh Presiden Menteri negeri itu Stefan Mappus, akan berada di Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis bagi mempromosikan teknologi pengeluaran tinggi Baden-Wurttemberg.

"Anggota delegasi terdiri daripada pelbagai latar belakang, kebanyakannya sains memandangkan kami mahu memperluaskan kerjasama saintifik kami. Kami menjangka dapat menandatangani perjanjian baru bagi menjalin perkongsian saintifik kami," kata Frankenberg.

Banyak syarikat Jerman mempunyai kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Malaysia dan Singapura, melalui kerjasama dengan rakan penyelidik tempatan. Tetapi kebanyakannya terhad kepada syarikat sederhana dan besar.

"Singapura dan Malaysia merupakan suatu yang penting bagi industri Jerman. Kami telah menjadi rakan tradisional dengan syarikat Malaysia dan banyak syarikat di Singapura juga mempunyai jalinan ini.

"Itulah sebabnya kami mahu meninjau untuk memperluaskan kerjasama ini," jelas beliau.

Frankenberg berkata Baden-Wurttemberg juga berminat untuk memperluaskan kerjasama dalam pendidikan tinggi memandangkan negeri itu mempunyai lebih 70 universiti dan 100 kemudahan penyelidikan, yang terbesar di Jerman.

"Syarikat-syarikat kami di Malaysia mempunyai jurutera yang dilatih di Jerman. Kami sedang berusaha untuk mengembangkannya melalui program pertukaran pelajar, yang penting untuk syarikat kami di masa depan," katanya.

Industri Jerman, terutamamya PKS, meninjau rakan yang boleh diharap termasuk pengeluar utama pelbagai jenis komoditi. "Ini amat penting kepada kami. Sebagai contoh, kami boleh bekerjasama dalam teknologi bateri mentah bagi menggantikan enjin konvensional. Malaysia kaya dengan minyak dan gas dan kedua-dua pihak boleh terus bekerjasama dalam pembangunan teknologi serta melatih jurutera yang lebih baik," jelas Frankenberg.

Baden-Wurttemberg, terletak di barat daya Jerman, terkenal kerana teknologi, penyelidikan dan inovasi dengan nama-nama seperti Robert Bosch, Carl Benz dan Gottlieb Daimler, dikenali di seluruh dunia.

Pelbagai syarikat terkenal seperti Daimler AG, Porsche, Robert Bosch GmbH (industri automobil), Carl Zeiss AG (optik), dan SAP AG (syarikat perisian terbesar di Eropah) juga beribu pejabat di negeri ini. -BERNAMA

Artikel Lain