suria

Mendiang Isteri Lee Kuan Yew Dibawa Ke Persemadian

SINGAPURA: Mayat mendiang Kwa Geok Choo, isteri Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, yang meninggal Sabtu lepas setelah sakit sekian lama, hari ini dibawa ke Krematorium Mandai untuk upacara terakhir persemadian.

Kenderaan yang membawa mayatnya kelihatan meninggalkan perkarangan Istana, di mana terletaknya kediaman perdana menteri dan presiden Singapura, pada kira-kira 4 petang.

Beratus-ratus rakyat Singapura yang telah menunggu dan membarisi Orchard Road dekat Istana sejak tengah hari untuk melahirkan penghormatan terakhir kepada Kwa, menundukkan kepala sebagai tanda hormat ketika kenderaan meriam istiadat yang membawa mayat Kwa berlalu depan mereka.

Kerajaan Singapura memutuskan memberi penghormatan kepada Kwa, 89, untuk dibawa dengan kenderaan meriam istiadat ke krematorium sebagai mengiktiraf sumbangan beliau yang cukup istimewa dan unik kepada negara bandaraya ini selama lebih lima dekad.

Kenderaan mayat bergerak melalui bahagian tengah dan utara Singapura menyusuri Newton Circus, Upper Thomson Road dan Sembawang.

Kenderaan itu tiba di Krematorium Mandai sejurus sebelum 5 petang untuk upacara pengkebumian privet dihadiri oleh tetamu jemputan termasuk Presiden Singapura S R Nathan, menteri-menteri kabinet, dan pemimpin masyarakat tempatan. - BERNAMA

Artikel Lain