SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura akan mengadakan inkuiri koroner berhubung kematian rakyat Malaysia Tong Kok Wai, yang juga penduduk tetap Singapura yang mati selepas terlibat dalam kejadian langgar lari membabitkan kereta diplomat Romania bulan lepas.
Lebih 30 saksi akan dipanggi untuk memberi keterangan di hadapan inkuiri yang akan diadakan bermula 3 hingga 10 Mac.
Tong, 30, seorang pembantu pengurus hotel mati selepas 10 hari dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan dengan seorang pelayan dari Sarawak Bong Hwee Haw, 24, di Bukit Panjang awal pagi 15 Disember tahun lepas.
Laporan media tempatan menyebut kereta itu memecut dan melanggar seorang pelajar berusia 16 tahun, Muhammad Haris Abu Talib, di tempat melintas pejalan kaki. Bong dan Haris cedera parah di kepala dan badan. Awal bulan ini, ibu Tong, Tong Ah Mooi, 59, meminta bantuan MCA di Kuala Lumpur bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya.
Hari ini, prinsipal kanan peguam negara Lau Wing Yum mendedahkan di mahkamah bahawa ketika dua kemalangan berlaku pagi itu, Kuasa Usaha Romania Dr Silviu Ionescu, 49, adalah pemandu kereta terbabit.
Beliau berkata siasatan polis menunjukkan kereta itu tidak dicuri sebagaimana didakwa oleh diplomat, walaupun ia ditemui berkunci dan ditinggalkan di Sungei Kadut Avenue pada 15 Disember, dengan cermin depannya pecah dan pintu pemandu serta bonet diumpil.
Dilaporkan Ionescu meninggalkan Singapura ke Romania tiga hari selepas kejadian dan tidak pernah dipanggil semula oleh kerajaan Romania.
Lau berkata lokasi Ionescu berada tidak diketahui tetapi polis Singapura sentiasa berhubung dengan Interpol di Bucharest.
Awal bulan ini juga Duta Besar Romania ke Singapura tetapi berpangkalan di Tokyo, Jepun Aurelian Neagu menemui pegawai kementerian luar Singapura bagi menyampaikan pendirian pihak berkuasa Romania berhubung kejadian itu tetapi tiada maklumat diberikan mengenai mesyuarat itu. - BERNAMA


