suria

Rakyat Indonesia bayar enam bulan gaji untuk bekerja di Malaysia

BANGKOK: Pekerja dari Indonesia membayar gaji setahun kepada perkhidmatan orang tengah untuk bekerja di Taiwan dan kira-kira enam bulan gaji untuk berpindah kerja ke Malaysia atau Singapura, menurut Laporan Pembangunan Manusia 2009 yang dilancarkan hari ini.

Pendatang dari Asia yang berhijrah ke negara teluk lazimnya membayar antara 25 dan 30 peratus daripada apa yang mereka jangka untuk memperoleh dalam tempoh dua atau tiga tahun selepas mereka diambil bekerja dan bayaran-bayaran lain, kata Jeni Klugman, ketua pengarang laporan berkenaan.

Beliau berkata mengikut perjanjian antara kerajaan Thailand, Kemboja dan Laos, yuran pengambilan pekerja adalah bersamaan dengan empat ke lima bulan gaji, purata masa pemprosesan kirakira empat bulan dan upah 15 peratus yang perlu disimpan sementara menunggu pekerja berkenaan pulang semula ke tempat asal mereka.

"Secara perbandingan, penyeludup pekerja dilaporkan hanya mengenakan caj bersamaan dengan satu bulan gaji sahaja. Dengan mengambil kira perbezaan kos tersebut, tidak mengejutkan sekiranya hanya 26 peratus daripada pekerja luar di Thailand yang berdaftar pada 2006," katanya.

Laporan itu yang ditugaskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan migrasi dalam negara dan antarabangsa melibatkan dokumentasi rasmi yang luas, yang sebaliknya boleh menyebabkan berlakunya halangan pergerakan atau tindakan yang menyalahi undang-undang.

Walaupun terdapat banyak agensi pengambilan pekerja yang berlesen, sebagai contoh di Filipina yang berjumlah 1,500 agensi manakala di India hampir 2,000 agensi, ramai yang tidak mematuhi peraturan dalam pembayaran caj perkhidmatan mereka.

"Perbezaan antara upah dalam negara dan jangkaan upah di luar negara sepatutnya menjadi penentu utama kepada bayaran kepada khidmat orang tengah," kata laporan itu.

"Mereka yang kurang kemahiran dan miskin lebih suka untuk berhijrah, namun dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang ini, ia telah menunjukkan penurunan dalam permintaan terhadap pekerja asing," katanya sambil menambah peluang-peluang yang tidak seimbang menjadi penentu utama kepada pergerakan ini.

Laporan itu berkata mereka yang lahir di Thailand boleh menikmati jangka hayat lebih tujuh tahun, hampir tiga kali ganda tahap pendidikan dan dapat berjimat lapan kali ganda berbanding mereka yang lahir di Myanmar.

Sebaliknya, pendatang Thai di Hong Kong dan Taiwan dibayar sekurang-kurangnya empat kali ganda lebih daripada apa yang diperoleh oleh pekerja kurang kemahiran di negara sendiri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Burj Dubai siap 2009 ikut jadual

Artikel Lain