Penduduk kampung membawa keluar jasad Puri yang lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Bekacak. -Foto Kompas/BPBD Kabupaten Pasuruan
SEORANG wanita lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mencuci pakaian di tepi sungai, dalam kejadian pada petang Sabtu. Jasad Puri Rahayu Arinta, 40, ditemukan tidak jauh dari lokasinya tergelincir selepas penduduk kampung melakukan operasi pencarian. Bagaimanapun, anak perempuan mangsa, Feli, 4, yang turut sama dihanyutkan arus masih belum ditemukan.Kejadian berlaku apabila mangsa bersama beberapa penduduk lain mencuci pakaian di tebing Sungai Bekacak, Kabupaten Pasuruan, Jawa Timur.Difahamkan mangsa tergelincir ketika cuba menyelamatkan diri apabila arus sungai tiba-tiba deras akibat peningkatan aliran air dari kawasan hulu.Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Pasuruan, Sugeng Hariadi berkata, penduduk yang menyedari kejadian itu segera berusaha menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dihanyutkan arus.Usaha pencarian dilakukan di sepanjang tebing sungai sebelum jasad wanita itu ditemukan di kawasan Empangan Bekacak dalam keadaan tidak bernyawa."Mayat Puri ditemukan di Empangan Bekacak sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga. Bagaimanapun, anaknya, Feli, masih belum ditemukan," katanya.Seorang lagi anak mangsa, M. Malik Zen, 7, terselamat kerana tidak berada di tebing sungai.Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan membabitkan pasukan gabungan BPBD Kabupaten Pasuruan, pihak polis serta sukarelawan penduduk setempat.Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di beberapa lokasi sepanjang aliran Sungai Bekacak dengan mengambil kira keadaan arus deras serta faktor keselamatan anggota yang terlibat. -Agensi