suria

“Gaji saya dah cukup” – Exco Perak nafi minta habuan

Abdul Yunus Jamhari.

AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Perak, Abdul Yunus Jamhari mendakwa beliau menolak tawaran jutaan ringgit untuk bertukar parti pada 2009.

Sehubungan itu katanya, adalah mustahil bagi beliau menerima jumlah sogokan yang lebih rendah pada masa ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri berkata, dakwaan mengenai beliau cuba untuk mendapatkan habuan ribuan ringgit adalah tidak masuk akal.

"Sekali lagi, dengan tegas saya menafikan tuduhan-tuduhan ini.

"Saya wakil rakyat negeri penggal ketiga, gaji dan elaun saya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau dan sebagai ahli exco negeri adalah mencukupi," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Daerah Kerian di Perak, Ahad.

Dilaporkan ahli jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean pada Sabtu membuat laporan polis terhadap Abdul Yunus yang didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Abdul Yunus turut didakwa cuba mendapatkan habuan dariapda dua syarikat yang membuat permohonan tanah di Kerian.

Pada Sabtu, Abdul Yunus dalam satu kenyataan mendakwa Yong Kean mempunyai motif dendam di atas tindakannya tidak menyokong permohonan tanah itu tahun lalu.

Beliau turut mendakwa 'dalang' yang cuba mahu menjatuhkan karier politiknya mempergunakan Yong Kean.

Abdul Yunus berkata, beliau akan melaporkan mengenai mereka yang terlibat dalam membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, kepada jawatankuasa disiplin PKR.

Beliau juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan, terhadap seorang guru yang merupakan bekas pegawai khasnya, yang turut didakwa terlibat dalam cubaan memfitnahnya. - The Star

Artikel Lain