suria

Wow! Miss International Malaysia 2024 angkat 2 ratu... Bukan sekadar cantik, bakat jadi taruhan

Dua peserta diangkat sebagai pemenang Miss International Malaysia 2024.

MISS International Malaysia (MIM) mencatat sejarah apabila menyaksikan dua peserta dinobatkan sebagai ratu Miss International Malaysia 2024, iaitu Cassandra Yap dan Ashlyn Ooi.

Turut membarisi dua wanita jelita itu adalah Kimberly Vung, Christina Lee, dan Aaliyah Wunsch yang mendapat gelaran naib juara pertama, kedua dan ketiga.

Acara tahun ini bukan sahaja meraikan kecantikan tetapi juga kecerdasan, bakat, dan keanggunan wanita Malaysia.

Selain itu, acara ini turut meraikan semangat yang diperkasakan oleh wanita tempatan, kepelbagaian budaya dan komitmen terhadap kelestarian, sekali gus membawa aspirasi Malaysia ke pentas global.

Penganjur Miss International Malaysia percaya bahawa setiap peserta adalah ratu kerana mereka menunjukkan dedikasi tinggi ke arah mencapai impian masing-masing.

Acara berprestij yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Oktober lalu, dianjurkan oleh Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) dan dipersembahkan oleh SunStrong Entertainment.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor gigi, ahli farmasi antara finalis Mr World Malaysia 2022... pemenang bakal wakili negara ke UK

Presiden dan Pengarah Kebangsaan PPASM, Jawed Khan berkata, barisan peserta datang daripada pelbagai latar belakang berbeza, sekali gus membawa kelainan dalam penganjurannya.

"Setiap peserta Miss International Malaysia dengan pelbagai latar belakang mereka. Benar-benar mewujudkan hati Malaysia dan intipati uniknya serta berfungsi sebagai suara untuk pelbagai tradisi, masyarakat dan kepercayaan," ujarnya.

Pengerusi Miss International Malaysia, Jenny Ngu turut berharap acara ini terus mendapat sokongan semua pihak dan dianjurkan secara berterusan pada masa akan datang.

"Berikan sokongan anda, kongsi cerita anda dan sertai kami dalam misi kami untuk menjadikan Miss International Malaysia lebih berkesan.

"Sama ada anda bakal peserta, penaja atau penyokong, kami amat menantikan penyertaan anda dalam membentuk naratif keindahan, kekuatan dan kepentingan budaya Malaysia," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain