suria

Ada beza ke bersenam waktu pagi atau petang? Jom ambil tahu

Bersenam pada waktu pagi mempunyai pelbagai manfaat terutamanya dalam meningkatkan fokus dan mempercepatkan proses menurunkan berat badan.

BILA waktu sesuai untuk bersenam? Sebenarnya bersenam pada waktu pagi atau petang mempunyai manfaat berbeza.

Ramai orang fokus terhadap jenis senaman yang dilakukan tetapi jarang meletakkan masa bersenam sebagai faktor penting dalam memastikan apa dilakukan dapat membuahkan hasil.

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya atau tidak... gaya tidur dapat bantu turunkan berat badan!

Ada orang gemar bersenam pada waku pagi, ada pula memilih waktu petang atau malam.

Sebenarnya tiada waktu yang tepat untuk bersenam kerana pada dasarnya, bersenam pada waktu pagi dan petang adalah sama. Tetapi yang membezakan adalah manfaatnya kepada kesihatan seseorang.

Berikut adalah perbezaan manfaat bersenam pada waktu pagi dan petang.

Senaman

Bersenam pada waktu pagi lebih tenang.

Kelebihan bersenam waktu pagi

Tidak ramai yang memilih untuk bersenam pada waktu pagi kerana masih berasa mengantuk apatah lagi otot dan sendi masih 'keras'.

Namun terdapat pelbagai kebaikan bersenam pada waktu pagi termasuklah;

1. Suasana tenang

Waktu pagi adalah sesuai kerana paling tenang selain udaranya segar. Ia membuatkan fikiran kita lebih fokus ketika bersenam tanpa perlu berfikir mengenai kerja, membalas mesej dan sebagainya.

2. Pola pemakanan lebih sihat

Kajian menunjukkan, senaman pada waktu pagi mendorong seseorang memilih pemakanan lebih sihat sepanjang hari.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obesity mendapati senaman waktu pagi membuatkan seseorang lebih kurang mengambil daging merah dan makanan bergoreng dalam diet mereka.

3. Hormon kortisol jadi seimbang

Hormon kortisol atau tekanan biasanya meningkat pada waktu pagi namun menurun menjelang malam. Bersenam pada waktu pagi mampu membuatkan kadar kortisol menurun.

Menambah Tenaga

Senaman pada waktu pagi menambahkan tenaga sepanjang hari.

4. Menambah tenaga

Ketika bersenam, oksigen dan nutrisi mengalir ke jantung dan paru-paru. Keadaan ini mampu menyihatkan sistem kardiovaskular, meningkatkan sistem imuniti dan stamina.

Kesannya, anda akan bertenaga sepanjang hari.

5. Meningkatkan fokus

Aktiviti fizikal pada waktu pagi dapat meningkatkan fokus dan kajian yang dilakukan British Journal of Sports mendapati senaman pada waktu pagi meningkatkan daya ingatan, visual dan kemampuan membuat keputusan lebih baik.

Dengan kata lain, bersenam dapat meningkatkan kemampuan kognitif sepanjang hari.

6. Mempercepatkan penurunan berat badan

Sebuah kajian menjelaskan senaman pada waktu pagi paling efektif untuk menurunkan berat badan. Pembakaran lemak berlaku lebih pantas pada waktu itu.

7. Menurunkan glukosa dan tekanan darah

Kajian turut mendapati senaman pada waktu pagi menurunkan risiko peningkatan gula dalam darah dan tekanan darah seseorang.

Bersenam waktu petang

Bersenam pada waktu petang turut mempunyai kelebihan tersendiri termasuk dalam meningkatkan kekuatan otot.

Kelebihan bersenam waktu petang

1. Meningkatkan kekuatan otot

Bersenam pada waktu petang dapat meningkatkan kekuatan otot apatah lagi jika seseorang memang sedang dalam proses membina otot badan.

2. Lebih bertenaga

Bersenam pada waktu petang meningkatkan kemampuan dan kekuatan fizikal sehingga 20 peratus. Angka ini lebih tinggi berbanding bersenam pada waktu pagi.

Bersenam

Secara dasarnya bersenam baik untuk kesihatan tidak kira pada waktu pagi atau petang.

3. Mengurangkan tekanan

Aktiviti harian menyebabkan kita berasa tertekan. Untuk melegakannya, senaman pada waktu petang dapat membantu.

Ini kerana bersenam pada waktu petang akan memicu pelepasan hormon endorfin yang membuatkan seseorang berasa lebih tenang.

4. Tidur lebih lena

Mengeluarkan peluh selepas bersenam dapat membantu tidur lebih nyenyak dan bangun dalam keadaan lebih segar.

Meskipun terdapat beberapa perbezaan kebaikan bersenam pada waktu pagi dan petang namun kedua-duanya memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain