suria

Jangan terkejut! Pijak kemudian simpan dalam peti sejuk beku antara tip jaga jeans

Seluar jeans menjadi kegemaran sebagai pakaian pilihan untuk kegunaan setiap hari namun mencucinya juga mempunyai kaedah tertentu.

SELUAR jeans adalah pakaian kegemaran terutamanya kepada golongan lelaki kerana ia bukan sahaja selesa, malah sesuai digayakan sama ada bersama kemeja atau pun baju T.

Ia bukan lagi dilihat sebagai gaya kasual malah jeans turut menjadi pilihan untuk acara tertentu termasuk ke pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berjaket denim memang nampak ‘smart’, tapi perlu kena caranya!

Tetapi yang tak sedapnya, ramai di antara kita yang kurang memberi penekanan terhadap kebersihan dan ada segelintir memakai jeans yang sama berminggu-minggu lamanya tanpa dibasuh sehingga berbau hapak!


Seluar jeans tidak digalakkan dicuci menggunakan mesin basuh.

Mode minggu ini mahu memberikan beberapa tip berguna tentang teknik menyuci jeans yang betul. Ya, membasuh jeans juga ada tekniknya kerana cara yang salah boleh menyebabkan seluar anda cepat rosak, selain warnanya lebih mudah pudar.

1. Terbalikkan jeans sebelum basuh

Bagi memastikan warna asal jeans anda tidak mudah pudar, sebelum basuh terbalikkan dahulu kerana dengan cara ini ia boleh mengelakkan warna asalnya terhakis.

2. Jangan rendam dalam air panas

Jika seluar anda tiada sebarang kekotoran degil yang melekat, elak merendam seluar dalam air suam atau panas sebaliknya guna air suhu biasa dengan bahan pencuci dalam kuantiti minima.

Jeans yang disidai dalam posisi terbalik boleh mengelakkan ia mengembang.

3. Rendam jeans dalam cuka

Merendam jeans kesayangan anda dalam air akan menyebabkan warna seluar anda akan pudar dan penggunaan sabun pencuci akan mempercepatkan proses itu.

Apa kata cuba rendam seluar anda dalam air campuran cuka selama sejam. Jangan bimbang tentang baunya kerana ia akan hilang apabila seluar anda kering.

Teknik itu sebenarnya mampu mengekalkan warna jeans anda selain mengekalkan bentuknya daripada mengembang.

4. Pijak jeans guna kaki

Bagi memastikan semua kekotoran terhapus, sebaiknya rendam jeans anda sekurang-kurangnya 45 minit sebelum dicuci. Jika rajin, gunakan kaki untuk memijak jeans yang direndam sebagai cara mengeluarkan kotoran.

Jeans perlu diterbalikkan sebelum disidai agar warnya tidak rosak.

5. Bekukan jeans dalam peti sejuk

Jika anda malas sangat hendak basuh jeans anda, apa kata masukkan seluar anda dalam peti sejuk beku selama beberapa jam sebelum jemur. Ia dapat menghilangkan bau busuk yang melekat pada jeans kesayangan anda.

6. Sidai dalam posisi terbalik

Ketika menyidai pastikan bahagian atas jeans berada dibahagian bawah dan hujung kaki seluar dia bahagian atas bagi mengelakkan jeans anda mengembang - sebaiknya jemur di bawah sinaran matahari.

Jeans, Mode

Artikel Lain