suria

Berkali-kali mesin berbunyi ‘not registered’, wanita seram ada entiti main pengimbas face ID di pejabat

Mesin pengimbas wajah hanya mengesan individu yang telah direkodkan.

KEBANYAKAN organisasi dan syarikat swasta telah beralih kepada sistem pengecaman wajah (face ID) bagi pengesahan identiti pekerjanya.

Malah ia juga digunakan untuk merekodkan kehadiran serta waktu kedatangan pekerja di sesebuah premis.

Sebagai syarikat alat telekomunikasi, pejabat Natasya juga tidak terkecuali menggunakan sistem pengecaman wajah kerana kaedah itu lebih mudah dan pantas.

Seperti biasa, penggunaan sistem baharu memerlukan para pekerja terlibat perlu hadir ke bahagian IT bagi melakukan pendaftaran dan rekod wajah.

"Sebelum ini kat pejabat menggunakan konsep thumbprint... tapi sejak face ID diperkenalkan, bos pun gunakan sistem baru sebab nak up to date dengan teknologi semasa.

"Setiap orang kena daftar supaya muka masing-masing ada rekod dalam sistem pejabat. Jadi apabila imbas muka di pintu masuk, rekod kehadiran turut dicatatkan," katanya memulakan cerita.

Pelbagai situasi menyeramkan direkodkan di pejabat

Pelbagai situasi menyeramkan direkodkan di pejabat.

Setiap kali imbasan dilakukan, mesin tersebut akan berbunyi 'registered' menandakan setiap wajah pekerja telah disimpan dalam rekod pejabat.

Disebabkan itu, Natasya serta rakan-rakannya berasa teruja dan gemar 'bermain' dengan mesin pengimbas berkenaan sehinggalah berlaku kejadian tidak diingini.

"Mesin ni memang akan keluarkan bunyi kalau kita letak muka kat depan dia. Jadi memang aku dengan kawan-kawan suka lalu dan imbas muka depan tu.

"Ada satu hari tu, kawan aku datang awal untuk buka pejabat, dia pun ada kerja yang nak kena siapkan awal untuk mesyuarat... selepas scan muka, dia terus duduk di meja dan buat kerja.

"Staf lain selalunya masuk pukul 9.30 pagi. Tapi pada hari tu, mesin imbas bunyi 'not registered' seawal pukul 8 pagi," katanya yang baru lima bulan bekerja di syarikat yang terletak di utara tanah air itu.

Bunyi mesin yang secara tiba-tiba itu membuatkan rakan Natasya terkejut kerana tidak melihat kelibat pekerja yang lain memasuki ruangan pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram didatangi gadis muka buruk, guna phone Nokia! Sedih dapat tahu kisahnya, roh tak tenang selepas kemalangan

Meskipun pelik, namun dia tidak mengesyaki apa-apa dan terus melakukan kerja seperti biasa.

Selang lima minit kemudian, mesin pengimbas sekali lagi berbunyi 'not registered'.

Bagaimanapun, dia masih tidak melihat bayang rakan sekerja di pintu masuk berkenaan.

"Kali ni, dia dah cuak dan seram sejuk. Memang dia cakap mata terpaku kat mesin tu je sebab jam belum pukul 8.30 pagi dan dia duduk sorang je kat pejabat tu.

"Dalam dia perhatikan mesin tu, tiba-tiba bunyi lagi beberapa kali seolah-olah ada orang cuba mengimbas muka tetapi tak dapat dikesan.

"Dalam keadaan takut tu, dia masih boleh menegur dan beranggapan ada kawan yang cuba bermain (menyakat) sebab tahu dia masuk awal pada hari tu untuk siapkan kerja," imbaunya lagi.

Situasi yang berlaku itu menyebabkan rakan Natasya bangun dari tempat duduk dan melihat kawasan persekitaran pejabat.

Selepas yakin bahawa tiada siapa yang masuk atau keluar pada waktu tersebut, dia kemudian mengambil keputusan untuk menunggu di ruangan lobi sehingga ada pekerja lain yang masuk.

Waktu masuk pekerja kebiasaannya pukul 9.30 pagi.

Waktu masuk pekerja kebiasaannya pukul 9.30 pagi.

"Apa yang dialaminya itu diceritakan pada aku dan kawan-kawan lain, tapi masa tu kami ketawakan je sebab anggap dia penakut sehingga fikir yang bukan-bukan.

"Tanpa diduga, kejadian sama berlaku pada waktu rehat... masa tu hanya ada kami lima sekawan di pejabat sebab kebanyakannya keluar rehat.

"Mula-mula ingatkan ada orang lalu, tapi selepas beberapa kali bunyi tapi tiada individu di depan mesin, kami pun ketakutan," kata Natasya yang turut merasai pengalaman 'diusik' entiti di pejabat.

Kejadian yang berlaku itu membuatkan dia dan rakan-rakan melekatkan kertas di hadapan mesin pengimbas supaya ia tidak melakukan imbasan secara rawak.

"Sensor tu memang ditutup dengan kertas. Jadi siapa yang nak scan kena flip (selak) kertas ke atas," katanya.

Menurut gadis berusia 23 tahun itu lagi, kejadian seram tersebut turut dialami beberapa lagi rakan sekerja yang lain sehingga ada yang mencadangkan supaya sistem pengecaman wajah digantikan dengan kaedah sebelumnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain