suria

“Yang tu aku punya, jangan ambil!” - Hantu kera pokok asam jawa berang, 4 sekawan terima padah... Badan naik cacar air, dahi berparut!

Mayang dan tiga sahabatnya menjadi mangsa 'amarah' hantu kera.-Gambar hiasan

KISAH yang berlaku puluhan tahun lalu masih segar dalam ingatan wanita ini.

Disebabkan peristiwa tersebut, dia mendapat parut 'percuma' di dahi.

Semuanya gara-gara hantu kera yang bergayut di pokok asam jawa milik rakan yang juga jirannya, Wati.

Kisah bermula di suatu petang apabila Mayang bersama rakannya Alin dan tiga adik rakannya itu ke rumah Wati.

"Sudah tiga hari Wati tidak ke sekolah, jadi kami berempat bercadang untuk menziarahinya.

"Setibanya di rumah Wati, kelihatan dia sedang bersantai di bawah pokok asam jawa yang sedang berbuah lebat. Rupanya Wati demam cacar air (chicken pox). Habis seluruh badannya ditumbuhi bintik-bintik berair," cerita Mayang yang mempunyai deria keenam.

Wati melarang tetamunya itu menghampirinya kerana bimbang dijangkiti memandangkan adik-beradik dia turut mengalami demam yang sama.

Melihat buah asam jawa yang terjuntai-juntai, Mayang serta merta kecur liur lantas meminta keizinan Wati mengambil sedikit untuk dibuat colek.

Apabila keizinan diberi, mereka berempat terus memanjat pokok asam jawa yang sedang merimbun itu.

Sedang asyik Mayang mengutip buah asam jawa, tiba-tiba ada sesuatu menyapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor syif malam bercakap dengan makhluk ghaib persis jururawat, siap ikut melawat wad! - “Mana misi tadi pergi?”

"Yang tu aku punya, jangan ambil!" kasar suara tersebut memberi amaran.

Mayang mendongak ke arah suara itu. Serta merta dia terlihat makhluk yang menyerupai seperti seekor kera sedang bertenggek di dahan yang paling hujung.

tamarind 1

Pokok yang tinggi dan merimbun menjadi kesukaan jin untuk berteduh. Gambar hiasan. -Foto Infonet

"Ambil la kau. Aku tak nak," Jawab Mayang endah tak endah.

Penuh satu plastik, Mayang bercadang untuk turun dari pokok. Kelihatan Alin dan adik-beradiknya masih rancak memetik.

Tiba-tiba mahkluk yang dilihat Mayang sebentar tadi menjerit nyaring.

Rupa-rupanya adik Alin sudah terambil segugus asam jawa yang ditunjukkan kepada Mayang awal tadi.

"Aku punya... Aku punya... Aku punya!" Jerit makhluk yang menyerupai kera itu berkali-kali sambil meludahkan air liurnya ke arah empat sekawan itu. Air liurnya bertaburan merata-rata.

Disebabkan mahu mengelak, Mayang tersilap langkah apabila kakinya terpijak dahan yang rapuh, lalu terus tergolek ke tanah.

Alin dan adik-adiknya yang nampak Mayang jatuh tertiarap mencium pasir itu langsung ketawa.

Namun ketawa mereka terhenti apabila melihat dahi Mayang berdarah.

Selepas kemalangan kecil itu, mereka berempat terus pulang ke rumah masing-masing.

"Balik dari rumah Wati, Alin adik-beradik tergaru-garu kerana badan mereka sudah naik bintat-bintat kecil dan lama kelamaan menjadi semakin bengkak dan lebar.

"Saya yakin itu adalah kesan daripada air liur makhluk itu tadi. Mujurlah saya sempat lari menyelamatkan diri walaupun jatuh ke tanah.

"Keesokan harinya, mereka pula yang demam cacar air seperti Wati. Hampir seminggu demam mereka tidak kebah dan biji-biji air itu terus tumbuh malah ada yang bernanah," imbas Mayang lagi.

Disebabkan masih belum menunjukkan tanda mahu kebah, situasi itu menimbulkan kehairanan bapa Alin, Pak Mail.

cacar

Alin dan dua adiknya mengalami gatal-gatal dipercayai air liur hantu kera tersebut. Gambar hiasan. -Foto Jejaksulsel

"Arwah Pak Mail bertanya kepada saya ke mana kami pergi sebelum mereka demam. Saya menceritakan kepada arwah Pak Mail tentang apa yang saya nampak.

"Rupa-rupanya mereka terkena ludahan jin yang menunggu di pucuk pokok asam jawa Wati.

"Setelah ditawarkan air, Alhamdulillah mereka kembali sihat. Semenjak itu saya dan Alin serta adik-adiknya tidak lagi bermain di rumah Wati kerana dilarang keras oleh Pak Mail," cerita Alin.

Menurut Mayang, penunggu itu bukanlah milik keluarga Wati, tetapi oleh kerana pokok asam jawa itu terlalu rimbun dan tinggi, ia menjadi kesukaan jin tumpang berteduh.

Tambahan pula ketika mereka ralit mengambil buah asam jawa, waktu sudahpun beransur Maghrib.

"Oleh sebab itulah jangan sesekali berlindung di bawah pokok besar sekiranya kilat sambar menyambar, bimbang kita juga turut dipanah petir.

"Saya nak ingatkan juga kepada yang ada pokok besar merimbun tanpa ada kepentingan, tolong cantas dan buang rimbunan nya supaya tidak menjadi tempat jin berlindung.

"Sebenarnya makhluk itu pun bukan nak makan asam jawa tersebut. Sengaja bagi tanda untuk menganggu kami.

"Silap saya juga kerana menjawab teguran daripada dia. Jika saya tidak menjawab, dia pun tidak tahu saya mampu melihat dia dan kejadian ke atas Alin adik beradik tidak berlaku," akhiri Mayang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain