suria

Wanita misteri ajak berbual dalam tandas, tiba-tiba ikut sampai ke kereta... Siap ketuk tingkap, hulur ‘barang’ sambil ketawa

Insiden ditegur wanita misteri masih segar dalam ingatan Mayang. gambar hiasan.

INSIDEN ditegur seorang wanita 'misteri' di sebuah hentian Rehat dan Rawat (R&R) masih menghantui dirinya sungguhpun sudah lama berlalu.

Mengimbas kembali insiden 'mistik' yang berlaku tatkala masih bergelar seorang remaja, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mayang berkata, ketika itu dia bersama seorang teman pulang daripada bercuti.

"Ketika kejadian itu hujan turun renyai-renyai, tiba-tiba terasa seperti ingin 'membuang hajat'. Teman saya memilih untuk berhenti di sebuah R&R yang paling hampir.

tandas 1

Mayang terpaksa memberanikan diri masuk ke tandas meskipun ketakutan, sebelum dia ditegur seorang wanita. Gambar hiasan

"Malam itu kenderaan yang berhenti pun tidak banyak memandangkan lebuhraya itu masih baru. Pada ketika itu juga kelihatan hanya sebuah kereta sahaja yang berada di situ.

"Mungkin berhenti untuk 'membuang hajat' seperti saya juga," demikian kongsi Mayang.

Menurut Mayang, sungguhpun dia takut untuk ke tandas seorang diri, namun dia menguatkan semangat kerana sudah tidak mampu menahan untuk membuang air.

ARTIKEL BERKAITAN: Buang kain putih lusuh, rupanya baju pontianak! Mengilai bila penghuni call ustaz minta tolong dari rumah sewa puaka

"Teman saya menunggu di kereta kerana bimbang jika kereta dicerobohi memandangkan banyak barang berharga ada di dalamnya.

"Lega apabila melangkah masuk ke dalam tandas, ada seorang perempuan sedang mencuci tangan.

"'Nak balik ke pantai timur ke dik?'. Saya menjawab 'Aah betul... Akak?'. Soal saya kembali. 'Sama lah. Pesan pada teman tu hati-hati memandu nanti. Jalan ni nampak jer lurus tapi banyak orang mati kemalangan' ujarnya lagi," cerita Mayang mengimbas perbualannya dengan seorang wanita yang ditemuinya di dalam tandas.

Selesai berpamitan, Mayang segera keluar daripada tandas dahulu meninggalkan wanita tersebut dan menuju ke kereta temannya.

Namun alangkah terkejutnya Mayang apabila bola matanya menangkap sosok seorang wanita yang sedang duduk di bangku batu ketika dia mahu ke kereta.

Tidak dapat saya gambarkan jika saya mengambil pemberiannya itu tadi, mungkin 'dia' akan terus mengikuti saya seumur hidup.

MAYANG

"Bila masa dia keluar? Soal hati saya. Saya melangkah masuk ke dalam kereta dan segera menutup pintu. Teman saya yang terlelap di kerusi pemandu sedikit terkejut.

"Lamanya. Berak ke? Kata nak kencing jer, omelnya tanpa melihat ke arah saya. 'Lama ke? Rasanya tak sampai 10 minit pun' ujar saya perlahan. 'Dah hampir sejam tau. Sembelit ke apa?'," bebel temannya.

Belum sempat Mayang mahu berkongsi cerita pertemuannya dengan seorang 'wanita misteri' di tandas sebentar tadi, tiba-tiba cermin kereta di sebelahnya diketuk dari luar.

"Perempuan yang sama sedang berdiri di luar kereta sambil memberi isyarat supaya saya membuka tingkap. Saya menurunkan tingkap sedikit kerana bimbang jika ada niatnya untuk merompak.

"Teman saya segera menghidupkan enjin kereta, malangnya gagal. Berkali-kali teman saya cuba, masih juga tidak berjaya.

'Ni telefon adik tertinggal' katanya sambil menunjukkan telefon bimbit kepada saya.

"Saya menuding jari ke arah perempuan seorang lagi yang duduk di bangku batu berhadapan dengan kereta saya. 'Oh... Itu kembar akak...' Jawabnya sambil ketawa.

"Apabila enjin kereta berjaya dihidupkan, tanpa berlengah lagi, teman saya segera meninggalkan R&R tersebut," kongsi Mayang.

tandas 3

Rakan Mayang terus memecut meninggalkan R&R selepas dia bercakap sendirian. Gambar hiasan

Tindakan tersebut membuatkan Mayang sedikit terkejut dan merasakan temannya agak biadab kerana selamba berlalu ketika dia sedang bersembang dengan wanita berkenaan.

Namun mengejutkan apabila teman Mayang berkata tiada sesiapa di sebelah tingkap kereta dan Mayang bercakap bersendirian!

"Saya terkedu mendengar jawapan daripada teman saya itu tadi. Syukur saya tidak mengambil pemberiannya itu tadi (telefon bimbit). Tidak dapat saya gambarkan jika saya mengambil pemberiannya itu tadi, mungkin 'dia' akan terus mengikuti saya seumur hidup.

"Jauh di sudut hati saya berdoa, semoga roh kamu tenang di alam sana. Al-Fatihah.

"Saudara saudari sekalian, saya ingin berpesan. Jangan sesekali mengambil sesuatu pemberian daripada orang asing yang langsung kita tidak kenal.

"Apatah lagi jika ketika itu waktu maghrib kerana boleh jadi itu adalah saka atau jin yang tidak bertuan yang sedang mencari tuan atau seseorang yang ingin melepaskan saka peliharaannya kepada tuan baru kerana tidak sanggup membelanya lagi," kongsinya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain