suria

Hati-hati ikut laluan Senaling, jalannya sunyi dan gelap... Guna Waze nak ke A'Famosa tapi dibawa jumpa ‘nenek bongkok’ depan rumah usang!

Nadzri dikejutkan dengan kemunculan lembaga wanita tua di tengah jalan.

SEPERTI selalu, setiap kali ada kelapangan dihujung minggu Nadzri Razak bersama keluarganya akan pulang ke kampung isteri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pemuda berusia 28 tahun itu memberitahu, Sabtu lalu dia dan isterinya Nurul Ain Sa'Ari, 27, pulang ke kampung untuk mengambil anak mereka dan bercadang terus ke Kota A'Famosa, Melaka bertemu dengan pakciknya.

Kata Nadzri, selepas waktu Isyak, dia dan keluarganya bertolak ke destinasi percutian di negeri bersejarah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Waze' bawa ke ladang kelapa sawit, kedai makan tiada yang ada hanya 5 pasang mata memerhati dan si tua bongkok

Ketika itu jam menunjukkan kurang pukul 8.30 malam.

"Malam tu badan saya agak rasa penat untuk berfikir jalan yang sesuai ke A'Famosa. Jadi saya guna Waze untuk membantu tunjuk jalan, selain boleh mengelak kesesakan aliran trafik.

"Kami dibawa melalui short cut, mungkin jalan-jalan kampung melalui Senaling.

Nadzri mengakui tidak pernah lalu jalan kampung ke Melaka pada waktu siang. Gambar hiasan

"Saya tak rasa apa-apa dan hanya ikut sahaja arahan Waze itu. Ketika itu isteri dan anak ada di tempat duduk belakang," kongsi kepada mStar.

Laluan makin pelik

Nadzri mengakui sepanjang laluannya itu, keadaan agak gelap dan sunyi.

"Semakin jauh perjalanan, saya lihat lampu jalan semakin hilang dan laluan gelap. Saya tetap berfikiran positif dan yakin Waze ini bawa jalan yang betul untuk ke destinasi.

"Lama-kelamaaan Waze semakin perlahan dan kerap menukar laluan.

Semakin jauh perjalanan, saya lihat lampu jalan semakin hilang dan laluan gelap.

NADZRI RAZAK

"Saya sendiri tidak tahu di mana lokasi ketika itu kerana keadaan semakin gelap. Tiada kenderaan lain yang lalu di jalan itu.

"Selepas itu, saya tenampak satu simpang. Saya memilih untuk ikut simpang kiri kerana tidak mungkin untuk lalu jalan lurus memandangkan keadaannya yang sangat sunyi.

"Beberapa minit masuk ke simpang kiri, suasana semakin gelap. Bukan itu sahaja, laluan hanya jadi satu jalan.

"Saya teruskan memandu kerana masih ada perasaan positif ia laluan betul," ujarnya yang sehingga kini masih dibayangi peristiwa tersebut.

Kelibat nenek bongkok berjalan

Jelas Nadzri, sepanjang perjalanan di laluan kecil dan sunyi itu, dia ternampak sebuah rumah lama di tepi jalan.

"Saya ada nampak rumah kosong yang sudah buruk di sebelah jalan laluan saya. Mungkin rumah lama yang ditinggalkan.

"Sedang asyik pandang rumah tersebut, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kelibat seorang nenek tua bongkok lintas di depan jalan.

"Memang terkejut sangat dan nasib baik tetap tenang membrekkan kereta perlahan-lahan.

"Ketika itu isteri di belakang terjaga dan tanya kenapa dan macam-macam.

Isteri Nadzri turut berkongsi kisah seram di laman Twitternya.

"Saya hanya beritahu dia, nanti cerita. Saya terus undurkan kereta dengan agak laju dan memecutnya ikut naluri sendiri cari jalan keluar.

"Mujur selepas itu saya nampak seperti laluan jalan raya dan terus keluar ke sana.

"Sebaik sahaja selamat berada di jalan raya, baharulah saya beritahu isteri apa yang nampak.

"Dan barulah isteri beritahu dia nampak nenek tua di sebelahnya (di luar kereta) ketika saya sedang mengundur kereta," katanya menceritakan perasaan takut dia dan isterinya serta bersyukur kerana anak mereka tidur lena ketika insiden menyeramkan itu.

Iktibar

Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Nadzri mengakui bersyukur kerana bersikap tenang ketika melihat kelibat misteri itu.

"Bayangkan ketika itu saya panik dan tekan brek secara mengejut? Apa akan jadi dengan isteri serta anak saya?

"Ini mungkin pengalaman paling menakutkan buat kami berdua. Memang selepas ini kami tak akan ikut 'Waze' lagi.

"Gunalah jalan biasa anda lalu walaupun agak jauh sedikit," katanya yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor.

Mistik, nenek tua, tengah jalan, sunyi, waze

Artikel Lain