Di gua ini Raja Bersiong menyorok selepas diburu akibat ketagih darah manusia! Dipercayai masih terdapat pinggan mangkuk miliknya - Mistik | mStar

Di gua ini Raja Bersiong menyorok selepas diburu akibat ketagih darah manusia! Dipercayai masih terdapat pinggan mangkuk miliknya

Dikatakan kawasan berbatu inilah yang merupakan pintu untuk masuk ke dalam gua yang menjadi tempat persembunyian Raja Bersiong.

KISAH Raja Bersiong memang popular terutama di Kedah kerana raja yang gemar menikmati darah manusia itu dikatakan pernah memerintah negeri tersebut yang berpusat di Lembah Bujang.

Diceritakan selera aneh Raja Bersiong bermula apabila secara tidak sengaja tukang masaknya terhiris jari sendiri sehingga darah menitis jatuh ke dalam masakkan untuk santapan baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat ‘call’ dari bilik tak berpenghuni, dengar bunyi nafas dan angin… Bekas staf dedah gangguan tingkat 5 hotel di Penang

ARTIKEL BERKATAN: Tok Syair orang yang buka kampung Pantai Dalam ghaib sehingga kini - “Kau beritahu yang lain, tak payah cari Tok lagi”

Berasa masakan yang bercampur darah manusia amat enak, bermulalah kekejaman raja itu apabila baginda menitahkan tahanannya sehingga ke rakyat jelata dibunuh untuk mendapatkan darah bagi memenuhi seleranya.

Akibatnya, rakyat bangkit memberontak menentang raja zalim itu sehingga dia melarikan diri.

Disebabkan kisah ini, banyak kawasan di negeri Kedah mendapat nama daripada kisah Raja Bersiong ini.

Tetapi, bukan hanya di Kedah, di Perak juga ada sebuah kampung yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kisah Raja Bersiong ini.

Kampung Kota Raja Bersiong, terletak di dalam mukim Ijok di daerah Selama, Perak.

Macam mana pula kampung ini boleh dinamakan sedemikian? Pernahkan raja zalim itu memerintah di situ?

Salah seorang penduduk di situ bernama Wahab memberitahu, nama kampung itu memang ada kaitan dengan Raja Bersiong.

Laluan masuk ke gua yang sudah tertimbus.

Menurut kisah orang-orang terdahulu yang disampaikan turun temurun, nama kampung ini tercetus dari kisah pelarian Raja Bersiong apabila berlaku pemberontakan rakyat terhadap pemerintahannya.

“Orang dulu-dulu cerita, Raja Bersiong lari dari Siam melalui Gerik sehingga sampai ke Ijok untuk bersembunyi dan mencari perlindungan.

“Dikatakan apabila sampai di sini, dia dan pengikutnya yang masih setia berlindung dalam sebuah gua. Gua itu masih ada lagi sampai sekarang. Dari situ kampung ini mendapat namanya,” cerita Wahab.

Gua itu masih ada lagi di kampung ini yang terletak di kaki sebuah bukit.

Menurut cerita lama, gua itu dijadikan tempat berteduh Raja Bersiong buat sementara waktu sebelum dia melarikan diri ke tempat lain.

Berapa lama raja itu berlindung di dalam gua itu, tidak dapat dipastikan.

Orang-orang dahulu menceritakan, ada laluan untuk masuk ke dalam gua tersebut. Malah dikatakan masih ada tinggalan kerusi, meja dan pinggan mangkuk di dalam gua itu yang dikatakan digunakan ketika raja zalim itu berlindung di dalam gua berkenaan.

Tetapi, sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana laluan masuk ke dalam gua itu sudah lama tertimbus.

Yang tinggal hanyalah kisah orang-orang lama yang diceritakan turun temurun. Tetapi berdasarkan kisah Raja Bersiong yang berteduh di dalam gua inilah yang memberi nama kepada kampung ini.

Dikatakan dahulu, banyak orang tidak bertanggungjawab yang membuat amalan khurafat dan pemujaan di kaki bukit berdekatan gua ini.

Ada yang memuja untuk nombor ekor, ada yang tarik harta karun, ada juga yang buat upacara tertentu untuk tujuan tidak diketahui.

Ada orang tempatan, dan ramai juga orang luar yang datang buat amalan khurafat di situ.

Disebabkan itu, penduduk sekitar mengambil inisiatif cuba memantau kegiatan tersebut. Jika dilihat ada orang yang berkelakuan aneh dan cuba melakukan pemujaan di situ, mereka akan dihalau.

“Dulu ramai sangat buat benda-benda pelik di situ. Masalahnya, ia turut bagi kesan pada penduduk kampung. Dulu selalu berlaku, bila ada orang yang memuja dekat gua itu, tak lama kemudian mesti ada orang kampung yang histeria atau kena rasuk. Banyak kali jadi macam tu. Bila ada orang kampung kena, mesti ada orang memuja kat situ,” ujar Wahab.

Penduduk sepakat sama-sama berjaga supaya tak ada orang buat bukan-bukan di kaki bukit tu. Kawasan itu dibersihkan, tidak lagi dibiarkan alat-alat pemujaan bersepah.

Bagus juga pintu masuk ke gua itu sudah tertutup sejak sekian lama. Jika tidak, mungkin lebih banyak amalan khurafat akan berlaku di situ.

Dek kerana populariti kisah ini, filem Raja Bersiong turut diterbitkan pada 1968 lakonan Ahmad Mahmud dan Sarimah Ahmad arahan Jamil Sulong.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Raja Bersiong , Selama Perak , darah

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

Artikel Lain