Di Malaysia wajib ada ketupat, rendang... Ketahui 10 menu wajib Syawal di seluruh dunia - I-suke | mStar

Di Malaysia wajib ada ketupat, rendang... Ketahui 10 menu wajib Syawal di seluruh dunia

Aneka hidangan menyelerakan menjadi hidangan tradisi umat Islam di seluruh dunia. - Agensi

UMAT Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi. Pada hari istimewa tersebut, muslimin dan muslimat akan meraikan kejayaan mereka menahan lapar dan dahaga serta nafsu selama 30 hari di bulan Ramadan.

Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, umat Islam akan berpusu-pusu pulang ke rumah masing-masing bagi menikmati hidangan menyelerakan di pagi Aidilfitri.

Memandangkan Muslim di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, menu yang dihidangkan juga berbeza mengikut budaya dan asal-usul mereka.

Jika di Malaysia, mereka yang meraikan Syawal akan menikmati sajian seperti ketupat, lemang, rendang dan sate sebagai menu wajib di hari raya, bagaimana pula masyarakat lain di seluruh dunia menyambutnya?

Mari kita lihat hidangan istimewa yang disediakan sempena lebaran di 10 negara di seluruh dunia.

1. India


Umat Islam di utara India meraikan Syawal dengan Kari Kaleji yang dipadankan dengan Rotin Nan sebagai meraikan kemenangan selama sebulan berpuasa.

2. Pakistan


Meja makan dipenuhi dengan hidangan manis dan menyelerakan.

Muslim di Pakistan menghidangkan Sheer Kurma yang mengandungi vermiseli, susu, gula dan kurma kering sebagai menu wajib hari raya!

3. Myanmar


Bagi penganut agama Islam di Myanmar, Syawal disambut selama sehari sahaja. Seperti masyarakat di Pakistan, Aidilfitri di Myanmar tidak lengkap tanpa semangkuk Sheer Kurma dan Seviyan (gambar) iaitu manisan diperbuat daripada mi vermiseli, mentega dan santan.

4. Turki


Lokum adalah kegemaran masyarakat Muslim di Turki apabila tibanya Hari Raya Puasa. Pencuci mulut yang kelihatan seperti jeli ini adalah gabungan antara kanji, gula, kurma, kacang pistasio dan walnut.

5. Somalia  


Umat Islam menyediakan roti yang istimewa yang dipanggil Cambaabur pada sambutan Aidilfitri.Sajian itu merupakan roti yang diperbuat daripada gandum dan pencuci mulut sekoi yang ditabur dengan gula dan dihidangkan bersama yogurt.

6. Indonesia 


Sambutan Syawal di Indonesia tidak banyak bezanya dengan Malaysia. Umat Islam di Indonesia menghidangkan ketupat sebagai menu wajib Hari Raya Puasa!

7. Singapura 


Mereka di Singapura meraikan Aidilfitri dengan hidangan Sambal Udang untuk dimakan bersama ketupat, lemang atau nasi lemak. Selain itu, umat Islam negara tersebut turut menyajikan Ayam Masak Merah sebagai menu istimewa Syawal.

8. Mesir 


Muslim di Mesir menghidangkan biskut Kahk bersama teh pada pagi Hari Raya Aidilfitri.Biskut Kahk yang diperbuat daripada tepung serbaguna, bijan, katu manis dan gula ini sebenarnya bukan sahaja disaji pada hari raya sahaja. Masyarakat Mesir 'memborong' biskut Kahk kira-kira 10 hari sebelum Syawal menjelma sehingga Hari Raya Puasa ke-10.

9. Syria dan Lubnan


Kuih Maamoul ini sering dihidang di negara-negara Levantin seperti Syria dan Lubnan sempena sambutan Aidilfitri.Maamoul merupakan kuih yang berinti seperti kurma, kacang pistasio atau walnut dan selalunya ditabur dengan gula tepung. 

10. Arab Saudi 


Antara menu tradisional yang dihidang pada sambutan Aidilfitri di Arab Saudi adalah Mugalgal.

Mugalgal adalah hidangan popular Syawal di Arab Saudi yang mengandungi daging kambing cincang, tomato segar, bawang dan lada hijau goreng.

menu raya

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia

Cik Puan Muda Pahang kemalangan