suria

Lebaran ini luang lebih masa bersama keluarga, sahabat... Cara mudah ini dapat atasi ketagihan Instagram!

INSTAGRAM menjadi media sosial yang menyajikan pelbagai posting menarik.

Di Instagram kita bukan sahaja dapat melihat gambar atau video, tetapi juga dapat membuat pembelian 'online'. Malah, boleh dikatakan setiap peniaga masa kini mempunyai laman Instagramnya sendiri.

Jadi tidak hairanlah daya tarikan yang ada pada Instagram ini membuatkan kebanyakan penggunanya ketagih.

Mana tidaknya, bangun pagi perkara pertama yang dibuka adalah Instagram. Sebelum tidur pun, Instagram jugalah yang dipilih menjadi penutup hari.

Jangan tak tahu, Kendall Jenner sendiri pun mengaku dia juga begitu!

Mungkin ketagihan Instagram nampak seperti isu yang agak remeh. Tetapi sejumlah kaji selidik ketika ini sedang berusaha mencari kaitan antara ketagihan Instagram dengan kesihatan mental dan depresi.

Jadi bagaimana caranya agar kita menjadi individu yang bebas dari ketagihan Instagram? Jika anda tidak mampu mengatasi ketagihan ini pada hari-hari biasa, sekurang-kurangnya lakukannya sepanjang tempoh Aidilfitri ini!

Memetik Flare, berikut beberapa tip yang diberikan untuk mengatasinya.

Ketagih Instagram dikatakan memberi kesan kepada kesihatan mental. -foto Getty

Pertama, letak telefon bimbit anda di tempat yang agak jauh atau di ruang yang berbeza daripada ruang biasa.

Psikoterapis Toronto, Nicole McCance, berkata ini adalah salah satu cara yang paling efektif. Apatah lagi ketika pasangan anda mula mengeluh.

"Perkara pertama yang saya katakan kepada klien adalah mereka harus cuba letakkan telefon mereka di ruang berbeza pada waktu tertentu," kata McCance.

"Seseorang sedang cuba berbual dengan seorang yang lain dan orang itu asyik bermain dengan telefon, itu sesuatu yang mengecewakan.

"Jika kedua-duanya setuju meninggalkan jauh telefon masing-masing, situasi ini tidak akan berlaku," katanya.

Selain itu, dia juga menyarankan supaya aplikasi itu dinyahaktif. Jelasnya cara tersebut diperlukan untuk lari dari rutin. Dengan melakukannya selama beberapa hari, otak dapat membangunkan pengembangan pola baharu.

Ketiga, cari kesibukan lain. Cara ini dikatakan cukup berkesan ketika ramai yang lain sedang sibuk aktif di dunia maya. Anda mungkin boleh pergi 'jamming', bersukan atau bermain permainan lain seperti Uno atau main kad.

Untuk tempoh lebaran, gunakan peluang ini untuk memasak, menziarahi saudara dan sahabat handai, menonton rancangan menarik di TV, berbual dengan tetamu ataupun mengemas.

Selain itu, cuba cari rakan yang anda tahu mahu meninggalkan media sosial juga, sama seperti anda. Bersama rakan berkenaan anda sedikit demi sedikit dapat melupakan media sosial kerana sibuk bersama kawan yang tidak sibuk 24 jam dengan telefonnya sahaja.

Instagram, ketagih, tip

Artikel Lain