Anda penghidap 'gangguan defisit alam'? Jika ya, cubalah terapi mandi hutan - I-suke | mStar

Anda penghidap 'gangguan defisit alam'? Jika ya, cubalah terapi mandi hutan

Aktiviti mandi hutan membantu mengurangkan tekanan. - Gambar hiasan/Hip and Healthy

"GANGGUAN defisit alam" adalah sejenis penyakit zaman moden yang sering dihidapi oleh warga kota.

Bekerja di pejabat dan ketagih dengan alat elektronik menjadikan ramai antara kita mengalami defisit alam.

Seorang doktor perubatan Jepun, Qing Li melalui bukunya yang berjudul Forest Bathing: How Trees Can Help You Find Health and Happiness (Bermandikan Hutan: Bagaimana Pokok Boleh membantu Anda Mencari Kesihatan dan Kebahagiaan) memberitahu, tiga suku daripada penduduk dunia akan tinggal di bandar-bandar menjelang 2050.

Di Jepun, kesedaran tentang defisit ini memberikan ilham kepada Li untuk menubuhkan organisasi yang dipanggil Persatuan Perubatan Hutan Jepun yang mempromosikan kesan terapeutik hutan terhadap kesihatan manusia.

Beliau juga mendidik orang ramai untuk mengamalkan aktiviti bermandikan hutan.

Luangkan masa untuk ke hutan dan rasai sendiri perbezaannya.

"Sesetengah orang mengkaji hutan dan ada orang yang mengkaji ubat.

"Saya mengkaji perubatan hutan untuk meningkatkan kesejahteraan manusia," tulis Li.

Minatnya terhadap kajian hutan bermula ketika beliau mengalami tekanan sewaktu bergelar pelajar perubatan.

Selepas beberapa tahun melakukan kajian, Li menemukan bahawa aktiviti meluangkan masa di hutan boleh mengurangkan tekanan, kerisauan, kemurungan dan kemarahan.

Selain itu, hutan membantu menguatkan sistem imunisasi badan, kesihatan kardiovaskular dan melabolisme serta meningkatkan tahap kesejahteraan secara keseluruhannya.

Artis Daphne Iking bersama anaknya Isobel Daniella (kiri) bergambar selepas melakukan aktiviti penanaman pokok karas pada Program Belum Forest Friends (BFF) pada November lalu. - Bernama

Kajian dijalankan ke atas beberapa pekerja umur pertengahan di Tokyo yang mengalami kekurangan waktu tidur akibat tekanan kerja untuk membuktikan teori tersebut.

Li mendapati, peserta yang meluangkan tempoh masa sama di hutan dan bukan hutan pada hari bekerja berasa kurang cemas, tidur lebih baik dan lama.

"Anda tidur lebih baik apabila meluangkan masa di hutan walaupun anda tidak meningkatkan jumlah aktiviti fizikal.

"Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menerima jemputan (ke hutan). Alam semulajadi akan lakukan yang selebihnya," kata Li.

Carilah satu lokasi hijau yang sesuai dan biarkan alam semula jadi masuk ke semua deria penglihatan, pendengaran, bau, sentuhan serta rasa anda. - Mindful

mandi hutan , forest bathing , defisit alam

Artikel Lain