Tingkap kapal terbang direka bentuk bulat bagi mengagihkan tekanan udara dan mengelakkan risiko retak. -Gambar hiasan AI
PERNAH tak anda tertanya-tanya, kenapa tingkap kapal terbang semuanya berbentuk bulat atau bujur dan bukannya segi empat seperti di rumah?Rupa-rupanya, rekaan itu dibuat bukan sekadar untuk nampak cantik, sebaliknya mempunyai kaitan rapat dengan aspek keselamatan dan nyawa penumpang di udara. Menurut perkongsian Aviation Career Official, apabila pesawat terbang pada altitud sekitar 35,000 kaki, kabin kapal terbang berada dalam keadaan bertekanan tinggi bagi membolehkan penumpang bernafas dengan selesa.Jika tingkap direka dalam bentuk segi empat, tekanan udara yang kuat itu akan tertumpu pada bahagian bucu tingkap sahaja.Keadaan itu berpotensi menyebabkan tekanan tertumpu pada titik tertentu atau bucu dan boleh menyumbang kepada pembentukan rekahan kecil dalam tempoh panjang.Bentuk tingkap memainkan peranan penting dalam membantu mengagihkan tekanan udara dengan lebih sekata.Disebabkan itulah, jurutera memilih reka bentuk tingkap yang lebih bulat atau bujur kerana ia membantu mengagihkan tekanan udara dengan lebih sekata pada keseluruhan permukaan tingkap.Reka bentuk berkenaan sekali gus menjadikan struktur tingkap jauh lebih kukuh dan mengurangkan risiko kerosakan akibat tekanan ketika pesawat berada di udara.Siapa sangka, bentuk bulat yang selama ini dianggap biasa itu sebenarnya direka khusus demi memastikan setiap penerbangan selamat sampai ke destinasi.