suria

Jangan tarik tongkat! Rupanya ini cara betul bantu OKU buta berjalan dengan selamat

Loh menunjukkan cara yang betul untuk memimpin orang yang cacat penglihatan.

APABILA berjalan-jalan di kawasan seperti stesen pengangkutan awam ataupun di lokasi tumpuan ramai, pasti anda pernah terserempak dengan individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan.

Melihat individu ini yang berjalan seorang diri dengan bantuan tongkat, pasti terbit di sudut hati anda perasaan ingin membantu memimpin mereka ke destinasi yang ingin ditujui dengan selamat.

Lebih-lebih lagi apabila mereka mahu melintas jalan ataupun sedang berjalan penuh berhati-hati di kaki lima yang tidak mempunyai garisan kuning yang dikenali sebagai Guiding block.

Niat ingin membantu sememangnya wajar dipuji namun sebenarnya ada cara yang betul untuk orang awam membantu individu cacat penglihatan.

Panduan tersebut dikongsikan oleh dua OKU yang juga TikToker, Loh Boon Keat dan Ambar Aishah.

"Selalu orang akan datang bertanya nak pergi mana dan mereka pegang tongkat kita kemudian tarik tongkat untuk bawa kita berjalan. Ini salah. Tongkat kita bukan untuk ditarik.

oku 2

Orang awam dinasihatkan untuk tidak meletakkan apa-apa halangan di atas 'guiding block'.

"Cara yang betul adalah, bagi kita pegang bahu mereka... dan mereka kena jalan di hadapan dulu.

"Contoh kalau ada tangga, biar orang yang membantu turun dulu baru kita turun. Kalau orang buta jalan depan dulu, potensi untuk dia jatuh tu tinggi," kata kedua-duanya sambil membuat demonstrasi cara membantu OKU cacat penglihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terimalah dengan hati terbuka... Anak OKU bukan musibah, tapi pelengkap kepada masyarakat

Selain itu, satu lagi info yang dikongsikan oleh Loh adalah mengenai kegunaan Guiding block yang terdapat di kaki lima.

Guiding block berfungsi untuk menjadi panduan kepada OKU penglihatan semasa mereka berjalan menggunakan tongkat putih.

Justeru, Loh sempat memberi nasihat kepada orang awam agar tidak meletakkan apa-apa halangan di guiding block kerana ini akan menimbulkan kesulitan kepada golongan OKU untuk berjalan.

"Tolong jangan letak apa-apa di atasnya (guiding block). Selalunya orang parking motor. Kalau nak letak signboard, jangan letak di atasnya tetapi letak tepi. Saya tak marah tapi mungkin ada yang tak tahu. Kalau tak tahu, kita kena beritahu," kata Loh lagi.

Pasti ramai yang kurang cakna mengenai dua perkara ini, bukan?

Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu orang awam agar lebih cakna dan tidak ragu-ragu lagi memberi pertolongan kepada golongan OKU penglihatan ketika berada di tempat awam.

Dan pastinya menjadi masyarakat yang prihatin dan bertimbang rasa!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain