suria

Budak-budak UM memang sporting! Feskum 2022 meriah, tarik 10,000 peserta

Feskum 2022 meriah dengan pelbagai aktiviti merangkumi hiburan dan santapan minda.

MACAM-MACAM ada!

Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan kemeriahan Festival Konvokesyen Universiti Malaya (Feskum) 2022 yang menutup tirainya baru-baru ini.

Sepanjang penganjurannya selama seminggu iaitu bermula 26 November hingga 2 Disember, acara tahunan yang gilang-gemilang bagi meraikan para siswazah itu diisi dengan pelbagai program menarik merangkumi acara hiburan, kerohanian serta santapan minda.

um 3

Program 'Be A Hero, Save A Life' menggalakkan mahasiswa menderma darah.

Menariknya mStar selaku portal hiburan dan gaya hidup paling berpengaruh tampil bekerjasama buat kali pertama sebagai rakan media Feskum 2022.

Antara program yang dianjurkan adalah pra-Feskum, Fright Night Run, Cursed House, Magika Fiesta, 'Be A Hero, Save A Life', Among The Stars, Ceramah Santai "Tengah Healing Ke Tu?", Beauty with Purpose, Open Stage dan Feskum Festivia.

'Be A Hero, Save A Life' adalah program derma darah dengan kolaborasi daripada Pusat Darah Negara (PDN) dan merekodkan seramai lebih 300 penderma.

Magika Fiesta pula merupakan malam kebudayaan yang mengetengahkan tarian dan nyanyian tradisional Malaysia bertujuan menghidupkan lagi seni budaya agar warisan turun temurun tidak ditelan zaman.

um 2

Mahasiswa 'sporting' mengambil bahagian dalam program Magika Fiesta.

Feskum 2022 juga menganjurkan program motivasi Among The Stars yang menampilkan tiga figura hebat dari Universiti Malaya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan semua pelajar dapat balik kampung, UPSI wujudkan suasana beraya di kampus

Mereka ialah penerima Anugerah Pelajaran Diraja UM 2022, Amir Rosyaidie; Delegasi Belia Malaysia ke-77 United Nation General Assembly, Elisa Shafiqah dan Felo Perdana di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 2022, Keisava Ragu.

Feskum 2022 juga menganjurkan program 'Beauty with Purpose' di mana Datin Elaine Daly, naib juara Miss World Malaysia World 1998 dan juara Miss Malaysia Universe 2003 sebagai penceramah.

Beliau juga merupakan alumni Universiti Malaya daripada Fakulti Undang-Undang.

Program ceramah santai yang menampilkan Ustazah Asmak Husin, bekas ahli Dewan Negara dan juga alumni Universiti Malaya tidak kurang hebat sambutannya apabila dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 500 orang peserta.

um 4

Feskum meriah dengan kehadiran penonton.

Hari terakhir Feskum 2022 dimeriahkan dengan konsert Feskum Festivia, yang menampilkan persembahan berkonsepkan moden dan pop oleh finalis bintang realiti televisyen, Ranisha Faizul serta mahasiswa dan mahasiswi UM sendiri yang berbakat dalam bidang seni.

Pengarah Feskum 2022, Muhammad Arif Aliman melahirkan rasa syukur kerana festival berkenaan berlangsung dengan meriah dan jayanya meskipun dua tahun tidak bersua.

"Walaupun dengan masa persiapan yang sangat singkat, iaitu hanya empat minggu sahaja, kami; sekretariat Feskum 22 dapat jalankan festival ini dengan sangat meriah.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kesemua yang memberi sokongan sepanjang Feskum 2022 ini berlangsung. Juga saya nak ucapkan terima kasih kepada semua ahli Sekretariat Feskum 2022," ujarnya sambil menambah, festival berkenaan berjaya menarik 10,000 peserta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain