suria

Kayuh sampai pengsan! Geng ‘bukan T20’ kini boleh beli basikal berkualiti dari Jepun pada harga mampu milik

Antara koleksi basikal yang dibawa masuk ke Malaysia dari Jepun.

BETUL ke aktiviti berbasikal ini hanya sesuai untuk geng T20?

Maklumlah, ada basikal yang harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Tanggapan itu kurang tepat kerana masih ada basikal mampu milik dan tetap berkualiti tinggi.

Antaranya adalah basikal terpakai dari Jepun, yang diusahakan oleh Koperasi Keluarga Haji Abdul Rahman Bin Haji Arshad Sabak Bernam Berhad (KERAH).

basikal terpakai dari jepun 8

Basikal mampu milik dan berkualiti tinggi.

Bertapak di Sabak Bernam, Selangor sejak sedekad lalu, basikal terpakai berkualiti tinggi dibawa masuk dari negara matahari terbit itu.

Muhammad Arifudden Mazlam, antara yang menguruskan bisnes keluarga itu berkata, basikal yang ditawarkan adalah jenis folding bike (16 inci, 20 inci dan lain-lain), mini velo, minon bike, city bike, road bike (lumba) basikal bukit (mountain bike), touring bike, basikal hibrid, urban commuter, beach cruiser, midi bike, mixtie bike dan BMX.

"Kenapa basikal terpakai? Kalau orang nak beli basikal baru, banyak kedai ada di pasaran. Dan Jepun terkenal dengan negara yang mengeluarkan produk-produk yang berkualiti tinggi.

"Bukan hanya golongan T20 minat berbasikal, tetapi dalam kalangan B40 dan M40 juga mula melakukan aktiviti ini sebagai hobi dan gaya hidup mereka," katanya kepada mStar.

basikal terpakai dari jepun 1

Basikal terpakai dari Jepun.

Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, idea membuka kedai basikal tercetus ketika bapanya, Mazlam Abdul Rahman yang sedang minum secawan kopi di sebuah gerai pada suatu hari terlihat ramai orang sedang melakukan aktiviti berbasikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Kayuh basikal demi kesihatan, kini Muslim bergelar mekanik sambilan

"Tapi harga sebuah basikal bukannya murah, lebih-lebih lagi berjenama. Sebagai alternatif, ayah sekeluarga membawa masuk basikal terpakai dari Jepun, sama dengan nama kedai 'Basikal Terpakai Dari Jepun'.

"Harga bagi sebuah basikal baharu secara purata antara RM2,000 dan RM3,000. Di sini, harga seunit secara purata RM380 dan RM480. Maksudnya orang ramai kini boleh mendapatkannya pada harga di bawah RM500," katanya yang berasal dari Sabak Bernam.

basikal terpakai dari jepun 5

Basikal jenis trifold.

Lebih mesra disapa Arif, katanya, basikal lipat yang mendapat permintaan tertinggi iaitu sekitar 40 hingga 45 peratus jualannya.

"Basikal lipat bukan sekadar jadi trend, tapi orang ramai suka kerana ia boleh lipat dan mudah untuk disimpan dan dibawa ke mana-mana.

"Ia menjimatkan ruang dan pengendaliannya lebih mudah. Nak simpan dalam kereta pun boleh, termasuk mereka yang tinggi di rumah lebih kecil seperti apartment," ujarnya.

basikal terpakai dari jepun 9

Pelbagai jenis basikal terpakai yang dijual pada harga mampu milik.

Menurut Arif, terdapat pebagai jenis basikal yang bersesuaian dengan kategori masing-masing:

Beginner: Folding / trifold, hibrid, road bike, mini velo, urban commuter

Beli untuk anak (pelajar universiti): Folding bike, hidbrid

Beli untuk anak ke sekolah: Basikal bukit (mountain bike), folding bike dan midi bike

Pasangan suami isteri mahu meluangkan masa hujung minggu bersama: City bike, road bike, folding bike, minion, urban commuter

Pengumpul barang rare / kaki vintaj: Beach cruiser, minion, mixtie, touring bike, city bike (belting)

Geng basikal lipat: Folding bike, trifold

Geng touring bike: Touring bike, urban commuter, gravel

Geng BMX: BMX

Geng vintaj: Basikal vintaj, beach cruiser, minion, postman

basikal terpakai dari jepun 4

Kiri basikal beach cruiser, kanan basikal vintaj mini velo.

Memiliki Diploma Perbankan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arif berkata, kebanyakan pelanggan mereka adalah berusia antara 25 dan 45 tahun.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, sebenarnya banyak kategori yang menggunakan basikal dari pelbagai peringkat umur.

Dalam kalangan B40 dan M40 juga mula melakukan aktiviti berbasikal sebagai hobi dan gaya hidup mereka.

ARIF

"Ada yang beginner, baru berjinak-jinak dalam dunia basikal, ada yang bina stamina. Ada juga mak ayah nak belikan untuk anak-anak, termasuk digunakan ke sekolah.

"Apa yang paling penting kesemua mereka mempunyai minat untuk berkayuh dengan modal tidak besar. Jadi basikal terpakai adalah pilihan terbaik," katanya.

basikal terpakai dari jepun 7

Kiri city bike, kanan basikal hibrid.

Maka tidak hairanlah tagline 'Kayuh Sampai Pengsan' cukup dikenali dalam kalangan pelanggannya dari seluruh Semenanjung terutama di Kuala Lumpur.

"Ada juga geng basikal yang mahu model basikal edisi terhad. Di pasaran berharga RM16,000 seunit, tapi basikal jenis mini velo yang terpakai dari Jepun kami jual RM3,000.

"Selain itu, ada juga basikal vintaj dari era tahun-tahun terdahulu yang dibeli untuk kegunaan sebagai hiasan dan dekorasi di premis dan kedai mereka," kata Arif.

basikal terpakai dari jepun 3

Arif (duduk) bersama sebahagian pekerja.

Seiring dengan perkembangan media sosial, Basikal Terpakai Dari Jepun turut mengumpul pelanggan baharu dan setianya menerusi platform dalam talian itu.

"Bagi tahun pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 2020 sahaja, jualan basikal melebihi 3,000 unit kerana ramai menghabiskan masa di media sosial pada tahun itu.

"Kami terus mengukuhkannya dengan melakukan FB live untuk mendekati bakal pembeli dengan menawarkan harga jauh lebih murah berbanding di kedai termasuk hadiah percuma.

"Bukan setakat kayuh sampai pengsan, orang ramai juga boleh datang ke kedai kami dan test kayuh sampai pengsan! Ada lebih 300 basikal untuk mereka cuba sebelum membuat keputusan untuk membeli dan harganya jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya.

Selain pembelian secara dalam talian di Facebook Basikal Terpakai Dari Jepun, laman web dan penghantaran melalui kurier, kedai secara fizikal terletak di Taman Sentosa di Sabak Bernam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain