suria

Pelik kucing tiba-tiba jadi agresif, marah tak tentu hala… Ini sebabnya!

Ada pelbagai sebab yang menyebabkan kucing kesayangan anda dalam 'bad mood'.

PERWATAKAN kucing yang berubah-ubah kadang kala susah untuk dikenal pasti apakah sebabnya.

Tahukah anda adalah penting untuk pencinta haiwan atau pemilik si bulus untuk mengenal pasti tingkah laku haiwan kesayangan mereka terlebih dahulu agar mudah untuk mengesan perubahannya.

Namun, kebiasaannya perubahan yang berlaku pada si bulus adalah daripada mesra, manja tiba-tiba mereka akan menjadi agresif dan mengeluarkan suara berbentuk komunikasi tidak normal atau erti kata lain sedang marah, berasa tidak selesa atau sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ingat nak makan sahaja... Stres antara 4 sebab kenapa si bulus mengiau.

Kajian daripada seorang doktor haiwan iaitu Katrina Warren mendapati terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan si bulus tiba-tiba menjadi pemarah.

Antara empat sebab si bulus boleh bertukar menjadi pemarah adalah:

1. Masalah kesihatan

Umumnya, kecendurungan paling tinggi si bulus marah adalah disebabkan mempunyai simptom-simptom tidak sihat seperti mempunyai virus atau kurap, keguguran bulu dan sebagainya.

Daripada menahan kesakitan ini si bulus akan mengalami beberapa perubahan antaranya menjadi garang atau pemarah, berkelakuan agresif dan ada kalanya mereka bersembunyi.

Jika anda rasa ini adalah puncanya, cepatlah bawa berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

2. Perubahan situasi

Selain itu, kucing juga kurang senang apabila ditukarkan daripada satu tempat ke tempat lain. Erti kata lain mereka sukar untuk menyesuaikan diri dengan tempat baharu.

Oleh itu, mereka akan bertindak agresif, mengeluarkan bunyi bising ataupun ada juga perbuatan mencakar untuk menunjukkan tanda tidak selesa.

Apa yang perlu anda lakukan jika berdepan situasi ini adalah sediakan tempat yang selesa buatnya dan sering memberi perhatian lebih kepada haiwan kesayangan anda itu.

3. Kehadiran haiwan lain

Seperti yang kita sedia maklum si bulus mudah berasa terancam apabila berdepan dengan haiwan lain terutamanya kucing juga.

Terdapat beberapa kajian mendapati bahawa mereka ini akan mempunyai perasaan takut tempat mereka diserang oleh kucing lain.

Hal ini akan menyebabkan si bulus marah dan timbulnya pergaduhan antara kucing.

4. Personaliti

Bagaimanapun, ada juga si bulus yang sememangnya mempunyai perilaku yang cepat marah gara-gara tidak suka disentuh atau dibelai.

Kebanyakkan kucing seperti ini mereka kurang manja dengan manusia sejak dari kecil. Mereka ini suka buat hal sendiri dan selesa dengan cara begitu.

Cara mudah anda ingin membentuknya menjadi lebih baik adalah banyakkan bermain dengannya bagi mewujudkan kemesraan dan membangunkan kepercayaan diri mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain