suria

Penemuan baharu! Guna periuk nasi cuci pelitup muka mampu hapus 4 jenis virus... ini cara disyorkan penyelidik

Penyelidik di Universiti Illinois memberitahu membasuh pelitup muka menggunakan periuk nasi dapat membunuh empat jenis virus.

SEJAK kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka, ramai daripada kita yang memilih pelitup muka jenis kain bagi melindungi diri daripada penularan wabak Covid-19.

Selain menjimatkan wang, ia juga boleh dicuci dan boleh digunakan berulang-kali.

Biasanya, kita akan basuh pelitup muka bersama-sama pakaian lain dalam mesin basuh namun ada cara lain yang boleh dicuba iaitu menggunakan periuk nasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kini kanak-kanak cacat penglihatan boleh bermain Lego... permainan ikonik versi braille bakal diperkenalkan

Ya, periuk nasi! Kaedah ini juga telah dibuktikan melalui kajian di Universiti Illinois, Amerika Syarikat yang mendapati pelitup muka yang 'dimasak' menggunakan periuk nasi selama 50 minit pada suhu 100 darjah celcius dapat menghapuskan empat jenis virus termasuk Covid-19.



Kebanyakan daripada kita menggunakan pelitup muka kain yang boleh dibasuh semula.

Para penyelidik membuat penemuan itu bulan lalu dan ia turut diterbitkan dalam jurnal bertajuk Environmental Science and Technology Letters.

"Ada pelbagai cara untuk mensterilkan sesuatu tetapi sebahagian besar cara itu merosakkan bahagian filter pelitup muka N-95," kata Vishal Verma, yang juga salah seorang penyelidik di universiti berkenaan.

Bagi kajian itu, pihak penyelidik menggunakan pelitup muka N-95 iaitu sejenis alat perlindungan diri (APD) yang mampu menyaring 95 peratus partikel di udara.

Ini kerana, petugas perubatan adakalanya terpaksa menggunakan pelitup muka mereka berulang kali kerana kekurangan stok.

Sementara itu, Vishal memberitahu apabila pelitup muka dimasukkan ke dalam mesin basuh, ia akan merosakkannya sekali gus membuatkannya berlipat.



Dasar periuk nasi perlu dilapik dengan tuala bagi mengelakkan pelitup muka menjadi cair.

Selain itu, pelitup muka akan menjadi longgar serta mengurangkan kemampuannya untuk menyaring partikel di udara.

Para pengkaji berpendapat, udara panas yang dihasilkan oleh periuk nasi tidak hanya membersihkan pelitup muka daripada kontaminasi virus, malah ia dapat mengekalkan bentuk dan kemampuannya menyaring benda asing.

Dalam kajian itu juga, penyelidik berjaya mensterilkan pelitup muka daripada empat jenis virus berbeza dan kesemua genetik dalam virus tersebut tidak aktif atau pun terhapus.

Bagi yang ingin mencuba kaedah itu, ada beberapa perkara perlu diketahui sebelum mencubanya;

1. Pastikan periuk kering

Jangan tambah air ke dalam periuk selain pastikan periuk nasi dalam suhu minimum 100 darjah celcius sepanjang tempoh proses itu.

2. Lapik periuk dengan tuala kering

Bahagian bawah periuk lebih panas dan bagi mengelakkan pelitup muka rosak, letakkan tuala kering pada dasar periuk sebelum masukkan pelitup muka yang ingin dicuci.

3. Tiada masalah cuci beberapa pelitup muka sekali gus

Kita boleh memasukkan beberapa pelitup muka ke dalam periuk untuk dibersihkan namun pastikan ia tidak menindih antara satu sama lain atau menyentuh bahagian tepi periuk nasi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain