PENUTUP tahun 2024 yang sangat manis.
Itulah yang dapat digambarkan dengan kejayaan cef kelahiran Malaysia ini apabila berjaya meraih anugerah dalam sebuah pertandingan memasak di Jepun.
Siti Safura Mohd Tawil, yang merupakan seorang Cef Duta Malaysia di Tokyo, menjuarai salah satu kategori dalam World King Of Chefs Summit 2024 di Jepun menerusi hidangannya, Nasi Ulam Bunga Telang.
ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula jadi pengapit, kini tawar servis ‘bride assistant’ untuk pengantin... Wanita ini bijak teroka peluang kerjaya baharu
Apa yang membanggakan, ini merupakan kali ketiga dia mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pertandingan memasak di luar negara selepas Kanada pada 2016 dan Ireland pada 2020.
Berkongsi kisah kejayaannya bersama mStar, Siti Safura berkata, meskipun sudah dua kali meraih anugerah sebelum ini, namun dia tetap gemuruh memandangkan berhadapan dengan saingan yang sangat hebat.
Melakar kenangan manis untuk Malaysia pada World King Of Chefs Summit 2024.
"Apa yang berbeza, untuk pertandingan di Jepun ini, penganjur hantar jemputan namun peserta perlu mohon dan submit mengenai hidangan masing-masing. Kiranya macam interview.
"Ia terbuka kepada cef serata dunia namun akhirnya 13 sahaja terpilih ke peringkat final.
"Dalam 13 peserta ini, semuanya hebat-hebat belaka. Cef yang senior semuanya. Ada yang bekerja di hotel-hotel ternama, ada juga cef pemilik restoran dan ada juga cef bertaraf Michelin.
Bersama barisan juara dan juri pada World King Of Chefs Summit 2024.
"Persaingan paling sengit bagi saya adalah peserta dari Sepanyol. Dia adalah pemilik sebuah restoran bertaraf Michelin. Saya tak sasar untuk menang, cuma buat yang terbaik dan yakin dengan hidangan.
"Alhamdulillah, hidangan Nasi Ulam Bunga Telang berjaya menjuarai kategori Sustainability," ujar anak kelahiran Ranau, Sabah ini.
Nasi Ulam Bunga Telang
Siti Safura menambah, dia bersyukur kerana hidangan berkenaan berjaya memikat hati juri yang terdiri daripada cef-cef terkemuka.
"Ini kali pertama saya sertai pertandingan ada tema, di mana temanya adalah plant-based.
Hidangan yang membawa tuah kepada Siti Safura.
"Saya pilih Nasi Ulam Bunga Telang dengan hidangan sampingannya (side dish) kuah percik, solok lada yang diolah kepada daging plant-based, jelatah, keropok dan seaweed.
"Saya juga masukkan taste and elemen Japanese sikit untuk tawan hati juri... Alhamdulillah hidangan ini menepati kriteria mereka," ujarnya.
Laluan kerjaya
Meminati bidang masakan sejak kecil apatah lagi ketika itu keluarganya memiliki sebuah restoran, Siti Safura berkata perkara tersebut mendorongnya untuk menyambung pengajian dalam jurusan kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Selama tempoh pengajian, saya pernah bekerja di beberapa hotel sebagai cef sambilan.
Kenangan manis ketika bergelar juara pada pertandingan memasak di Kanada.
"Sebaik saja tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, kebetulan ketika itu Duta Malaysia di Kanada minta pensyarah cadangkan beberapa nama untuk dipilih sebagai Cef Duta.
"Ramai kawan-kawan saya pun hantar resume dan interview. Boleh kata mereka semua hebat-hebat juga. Alhamdulillah saya terpilih.
"Itulah permulaan laluan kerjaya saya bergelar Cef Duta Malaysia dari 2016 hingga kini, dan di Tokyo, saya berkhidmat sehingga 2026," ujarnya yang mengimpikan untuk membuka sebuah restoran kelak.
Melakar kenangan manis di Ireland, empat tahun lalu.
Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik ini juga menambah, bukan mudah sebenarnya laluan yang ditempuhi untuk berada pada tahap sekarang.
"Masa belajar dulu, ada segelintir yang berhenti separuh jalan. Tak mudah sebenarnya. Mungkin sesetengah melihat bidang kulinari hanya memasak saja. Sebenarnya kita belajar undang-undang, pengiraan dan sebagainya.
Siti Safura kini bertugas sebagai Cef Duta Malaysia di Tokyo.
"Setiap bidang pun, memerlukan ilmu pengetahuan. Alhamdulillah, sedikit sebanyak liputan mengenai saya membuka mata ramai pihak. Ada ibu bapa DM (direct message) minta pandangan mengenai jurusan ini.
"Untuk adik-adik yang nak ambil atau tengah belajar jurusan ini, buatlah bersungguh-sungguh. Sekarang ni terlalu banyak peluang kerjaya dalam bidang ni. Cuma kena bijak cari peluang dan teroka minat kita," akhirinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube