suria

Stylo habis! Selepas dua dekad bergelar tentera, lelaki berusia ini kini antara model terkenal di India

Nitin Mehta berkhidmat selama dua dekad bersama tentera darat India sebelum bersara dan menjadi seorang model.

JIKA ada yang melihat foto seorang model berusia 48 tahun ini, tiada siapa akan menyangka bahawa dia adalah seorang bekas pegawai tentera darat.

Meskipun sudah agak berusia, wajah tampan Nitin Mehta yang berjambang serta tubuh yang sasa menampakkan seolah-olah dia sudah seumur hidup bergelar model.

ARTIKEL BERKAITAN: Princess Ezurin, 5 Tunku sahut cabaran berkampung di Hulu Langat... tinggalkan kehidupan mewah, tetap tukar baju 6 kali sehari!

Tetapi hakikatnya, Nitin baru sahaja berjinak-jinak sebagai model selepas dua dekad berkhidmat sebagai pegawai tentera darat di India.



Ramai tidak percaya Nitin baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang peragaan.

Bagaimanapun kecederaan pada lutut yang dialaminya telah memaksa Nitin untuk bersara secara sukarela tanpa mengetahui arah tujuan selepas tidak mempunyai pekerjaan.

"Keputusan meninggalkan tentera barangkali adalah antara keputusan sukar yang perlu saya lakukan ketika itu tanpa mengetahui apa nasib saya selepas itu.

"Tetapi saya percaya saya masih mampu berdiri di atas dua kaki selagi saya tidak berputus asa dan berusaha demi kelangsungan hidup," ujarnya.

Bergelar seorang model tidak pernah berada dalam kamus hidup Nitin sehingga pada suatu hari dia bertemu seorang penerbit filem yang menyapanya ketika berada di lapangan terbang.



Meskipun usianya hampir mencecah 50 tahun namun Nitin menjadi buruan pereka fesyen untuk memperagakan rekaan mereka.

Tawaran itu kata Nitin telah membuka ruang dan pintu kepada dunia peragaan.

Percaya dia mempunyai peluang cerah dalam bidang itu, Nitin sanggup mengeluarkan sejumlah wang untuk melakukan sesi fotografi sebagai portfolio.

"Saya masih ingat, bapa saya merasakan saya hanya membazirkan wang dan pada usia sekarang saya tidak mempunyai banyak peluang sebagai seorang model," katanya.

Namun pelaburan yang dibuatnya nyata berbaloi apabila dia mula dihujani dengan pelbagai tawaran peragaan selain diminta menjadi jurucakap jenama antarabangsa.



Kehidupan Nitin berubah selepas seorang penerbit filem menawarkannya tawaran berlakon sebuah filem.

Tidak hanya sebagai model, Nitin juga mula menembusi dunia Bollywood apabila pernah berlakon di samping pelakon terkenal, Akshay Kumar dan Deepika Padukone.

Sementara itu, Nitin memberitahu meskipun dia mempunyai pengalaman luas sebagai tentera namun apabila melangkah masuk ke dalam dunia fesyen, pangkat dimiliki sebelum ini tidak membawa sebarang erti.

Katanya, dia terpaksa bermula daripada bawah termasuk cara memperagakan pakaian dengan penuh bergaya, cara berjalan serta membentuk dirinya sebagai seorang model berkaliber.

Bagi mencapai kriteria itu, Nitin berkata, dia tidak berasa malu untuk belajar daripada model yang jauh lebih muda daripadanya.



Nitin membuktikan usia bukan penghalang untuk berjaya.

"Kebanyakan masa saya dikelilingi oleh model-model yang boleh dianggap sebagai anak sendiri tetapi saya sedar apabila masuk ke dunia fesyen, mereka adalah bapa dan saya anak.

"Banyak saya belajar dan tanpa 'senior' ini, saya mungkin tidak dapat bergelar seorang model yang baik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nitin berharap kisahnya dapat dijadikan inspirasi oleh sesiapa sahaja yang mungkin berada dalam situasi sama sepertinya.

Kata Nitin, usia tidak pernah menjadi penghalang untuk mengecap mimpi sebaliknya kehendak dan usaha diri sendiri yang sentiasa membantutkan niat seseorang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain