“DAH 10 bulan ke? Kurus dan kecilnya badan dia, mesti tak suka makan dan memilih ni... tak aktif juga ke?” Para ibu terutama mereka yang memberi susu badan sepenuhnya kepada bayi pasti berasa runsing apabila sering diajukan soalan begitu. Mana tidaknya, bayi yang menyusu badan secara eksklusif berat badannya akan bertambah secara perlahan dan adakalanya tiada peningkatan antara dua hingga empat bulan. Jika anda berdepan situasi yang sama, bolehlah mencuba kaedah yang dikongsikan Ainaa Aqilah. Tambahan pula perkongsiannya itu berdasarkan pengalaman sendiri dan pastinya lebih meyakinkan para ibu! Pengambilan kalori perlu diberi perhatian. 1. Makanan tinggi kalori Para ibu boleh menggandakan pengambilan kalori. Justeru, walaupun anak makan sedikit, tapi dia mendapat banyak kalori. Contohnya, hasilkan bubur nasi bercampur kentang, ayam dan tauhu serta dua atau tiga jenis sayur. Tumiskan bawang dan halia dengan unsalted butter. 2. Pemilihan protein Pilih ikan yang berlemak seperti kembung, sardin, siakap atau tenggiri dan kalau bajet lebih bolehlah beri salmon atau tuna. Bagi ayam pula, para ibu boleh pilih bahagian banyak lemak dan kulit manakala daging lembu pun cari bahagian berlemak. Boleh juga beri anak makan telur setiap hari. Puding roti kaya dengan produk tenusu dan buah-buahan. 3. Campur produk tenusu dalam hidangan harian Setiap hari mesti tambah susu full cream atau krim keju dalam lauk. Yogurt juga selalu dicampurkan dalam snacking anak. 4. Buah-buahan Kerap memberi buah kepada bayi anda. Jika rasa bosan, boleh pelbagaikan hidangan berasaskan buah seperti pai, bubur sumsum, aiskrim buah, jus mahupun puding. Jika mengalami kekangan masa, para ibu boleh buat mangga potong dadu yang digaul dengan yogurt dan chia seed. Sup sayuran bercampur tauhu telur mampu membuka selera bayi. 5. Kekacang Untuk tip ini, para ibu terlebih dahulu kena pastikan bayi tidak mengalami sebarang alahan ya! Boleh buat sendiri peanut butter campur kurma atau hazelnut chocolate spread. Makanan yang berasaskan kacang soya seperti tauhu boleh diberi secara kerap dan hidangan yang paling mudah disediakan adalah tauhu campur telur. Menurut Ainaa Aqilah lagi, para ibu juga boleh menetapkan jadual makan seperti tiga kali sehari untuk makanan utama supaya bayi sentiasa mendapat ‘tenaga’ dan khasiat daripada pemakanan. “Saya juga akan tidurkan anak selepas makan, bukan tidur lama pun... dalam 30 minit hingga satu jam sahaja. “Selalu buat pemanis mulut seperti burn cheese cake, puding roti, bubur sumsum atau ais krim,” tambahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube