suria

Ibu dijemput Ilahi pagi Jumaat sebelum Subuh... Wanita ini cerita pekerti arwah, pelihara 4 orang anak bukan daripada rahim sendiri

Amelia menjaga ibu angkatnya seperti ibu kandung sendiri semasa hayat Allahyarhamah.

KEWAJIPAN menjaga dan menyantuni kedua ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

Sebagaimana ibu bapa menjaga dan mendidik anak-anak sejak lahir, seperti itulah juga perkara yang sama perlu dilakukan anak-anak.

Alangkah bertuahnya bagi mereka yang diberi rezeki dapat berbakti kepada ibu bapa sehingga ke nafas terakhir.

Perkongsian menyentuh hati wanita bernama Amelia Tamby Hussin di laman Facebook mengenai kisahnya menjaga ibu yang sakit sehingga meninggal dunia, benar-benar membuatkan rata-rata warga maya sebak.

Mana tidaknya, wanita yang dijaganya itu sebenarnya berstatus ibu angkat. Benar-benar mengkagumkan!

Dalam temubual bersama mStar, dia yang senang disapa Amelia berkata, arwah ibu angkatnya, Aminah Amid, 73, menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ramadan lalu menjelang waktu Subuh.

amelia 2

Amelia dibantu adiknya, Ira (belakang) untuk menguruskan ibu mereka setiap kali perlu menerima rawatan di hospital.

"Arwah mak meninggal dunia sehari selepas hari lahirnya. Dua minggu sebelum meninggal dunia, arwah dimasukkan ke hospital kerana masalah batu hempedu.

"Arwah seboleh-bolehnya tak mahu pergi ke hospital. Dia asyik cakap nak meninggal dunia di rumah. Jika ikut sejarah sakitnya, enam tahun yang lalu, lebih kurang menjelang hari lahirnya juga, mak sakit kerana jangkitan kuman.

"Alhamdulillah, mak pulih. Namun kali ini, menjelang hari lahirnya juga, saya dah berdebar-debar apabila mak sakit lagi. Tapi saya yakin mak pasti akan pulih.

"Syukur Alhamdulillah, selepas menerima rawatan termasuk dialisis, mak pulih dan dibenarkan pulang. Apa yang saya perasan, wajahnya berseri... kakinya yang kehitaman kerana dah lama tak boleh berjalan, turut bertukar macam sebelumnya. Ajaib sungguh!" ujar wanita berusia 43 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau anak stres ‘homework’ bertimbun, ibu tak paksa pergi sekolah... ‘Homeschooling’ dah cukup, belajar kemahiran hidup

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sulung baru usia 9 bulan, dah hamil lagi! Wanita lega kehamilan ketiga berjarak 5 tahun - “Jujur cakap, berganda-ganda tenang”

Amelia menambah, dalam tempoh seminggu selepas keluar dari hospital, kesihatan ibunya semakin baik malah dia sendiri tidak menjangka wanita tersebut akan pergi menuju negeri abadi.

"Petang Khamis, 1 Ramadan, saya buat doa selamat dan hantar pulut kuning ke masjid. Saya tinggalkan pulut untuk mak tapi dia tak nak. Dia nak berpantang makan sebab dia nak sihat.

amelia 3

Kerusi plastik yang digunakan untuk memandikan ibu angkatnya masih lagi berada di dalam tandas walaupun selepas ketiadaan arwah.

"Dia risau akan susahkan kami adik beradik nak menjaganya kalau sakit. Ya Allah, tak pernah rasa susah sekalipun mengurusnya selama dia sakit, selepas perkara yang sama saya buat untuk arwah ayah.

"Pagi Jumaat pukul 3.30 pagi, mak kejutkan adik untuk bersahur. Memang kebiasaannya bangun awal untuk bertahajud. Adik pun kejutkan saya pula. Selepas siap-siap, saya turun tapi peliknya saya tak singgah bilik mak seperti selalu.

"Pintu biliknya juga tertutup. Selepas selesai sahur dan nak solat subuh, tiba-tiba adik jerit beritahu mak dah kaku.

"Saya longlai apabila melangkah masuk bilik mak. Saya dapat rasakan mak tak ada, sebab teringat hari itu hari Jumaat. Mak memang sebut, nak meninggal di rumah, nak meninggal hari Jumaat.

"Alhamdulillah, mak dapat apa yang dia nak... bulan Ramadan pula," ujarnya yang juga pemilik restoran Nasi Beriani Haji Tamby di Padang Temu, Melaka.

Dia seorang yang suka bertahajud, bersedekah, taat suami. Benchmark dia terlalu tinggi untuk saya kejar menjadi sepertinya.

AMELIA TAMBY HUSSIN

Walaupun reda dengan pemergian ibu angkatnya, Amelia berkata dia masih belum puas berbakti kepada wanita yang memeliharanya serta menatangnya dengan penuh kasih sayang walaupun bukan daripada rahim sendiri.

"Mak tak dianugerahkan zuriat daripada rahimnya sendiri. Saya dan tiga adik beradik lain, semuanya anak angkat daripada ibu yang berbeza.

"Betapa dia sayang kami berempat, langsung dia tak pernah ungkit walaupun bela anak orang lain. Dia sebaliknya tak henti bersyukur. Katanya, tak sangka semua anak angkat bela aku baik macam ni.

"Adik saya yang status Orang Kelainan Upaya (OKU), dibawa ke hospital jalani rawatan penglihatan dan pendengaran tanpa dia mengeluh.

amelia 4

Kenangan hari raya keluarga kecil Amelia bersama arwah.

"Antara sifat arwah mak yang lain selain pelihara kami macam anak kandung, dia seorang yang suka bertahajud, bersedekah, taat suami. Benchmark dia terlalu tinggi untuk saya kejar menjadi sepertinya," ujarnya lagi.

Lebih 10 hari pemergian ibu angkatnya itu, Amelia berkata berkongsi coretan di laman sosial adalah salah satu caranya untuk mengubati kerinduan kepada arwah.

"Saya share untuk orang lain buat benda yang sama untuk mak masing-masing. Carilah ceruk dunia mana, anda takkan jumpa mak yang seorang. Berbuat baiklah dekat mak. Nanti ia akan reflek kepada kita pula.

"Yang selisih faham, kecil hati bab giliran adik beradik jaga mak, usahlah masam muka. Tak payah nak tunggu giliran, berbaktilah selagi mana mak ada.

"Demi Allah tak ada pun rasa nak tunjuk diri ini baik namun perkongsian ini adalah untuk membuka mata mereka yang bergelar anak-anak. Semoga mereka di luar sana dapat buat yang lebih baik daripada saya," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain