suria

Orang lelaki jangan malu-malu periksa alat sulit... Hidap kanser prostat bukan bererti gelap masa depan

Kanser prostat dan kanser testis adalah pembunuh senyap bagi kaum lelaki.

MUNGKIN tidak ramai penghidap kanser prostat dan kanser testis sudi berkongsi masalah yang dialami mereka sehingga topik mengenainya kurang menjadi bualan.

Malah perkembangan penyakit yang perlahan juga mendorong penghidapnya tidak menyedari gejala yang berlaku sehingga mengakibatkan maut.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Kanser prostat boleh serang dalam diam, kaum lelaki perlu ‘alert’ 11 gejala penyakit ini

Menurut Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Datuk Dr Selvalingam Sothilingam menerangkan 'pembunuh senyap' bagi kaum lelaki itu boleh sembuh jika pesakit mendapatkan rawatan awal.

"Kanser prostat sering dikelirukan dengan hyperplasia prostat benigna (BPH) yang merupakan sejenis keadaan beningna prostat atau bengkak prostat yang selalunya berlaku dalam kalangan lelaki yang lebih berusia serta lebih banyak berlaku daripada kes kanser.

"Kanser testis pula boleh bermula daripada sebuah ketulan kecil di testis dan lebih mudah dikesan tetapi hanya jika seseorang lelaki itu selalu melakukan pemeriksaan testis kendiri secara berkala," jelas beliau.

Ujar beliau, kedua-dua kanser ini boleh wujud tanpa sebarang simptom namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebagai faktor risikonya seperti lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat atau payudara.

Gambarajah menunjukkan perbezaan prostat yang normal dan ditumbuhi tumor.

Gambarajah menunjukkan perbezaan prostat yang normal dan ditumbuhi tumor.

Selain itu katanya, lelaki berumur 50 tahun ke atas terutamanya mereka yang mengalami lower urinary tract symptoms boleh mendapatkan rundingan doktor dan mempertimbangkan untuk melakukan ujian darah penanda tumor Prostate Specific Antigen (PSA).

"Bagi kanser testis, antara faktor risikonya ialah mereka yang mempunyai jumlah sperma yang sedikit dengan masalah kesuburan, lelaki yang mempunyai sejarah masalah testis tidak turun atau ‘undescended testis’ serta masalah genetik tertentu.

"Pemeriksaan testis kendiri adalah cara yang baik untuk mengesan sebarang kekerasan atau ketulan pada testis.

"Rawatan awal kanser prostat kini selamat dan kurang rumit dengan evolusi pembedahan robotik dan kemajuan teknologi dalam radioterapi prostat, menjadikan ia pilihan rawatan yang selalunya memberikan hasil yang baik dengan kesan sampingan yang minimal.

"Untuk kanser testis, rawatan utamanya ialah melalui pembedahan membuang testis, namun pesakit masih mempunyai testis kontralateral yang akan terus menghasilkan hormon lelaki, testosteron dan juga sperma," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Selvalingam menyatakan bahawa lelaki mempunyai pilihan untuk melakukan perbankan sperma sebelum menjalani pembedahan dan ia disediakan kepada pesakit yang belum berkahwin atau ingin menambah cahaya mata.

Tambahnya, kanser testis tahap awal boleh dirawat dan tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding kes yang sudah teruk.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain