suria

Jangan panik! Ini yang boleh ibu bapa lakukan sekiranya anak dijangkiti HFMD

Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi minta ibu bapa jangan panik apabila anak dijangkiti HFMD.

MALAYSIA mencatatkan sebanyak 22,463 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) iaitu peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tahun lalu.

HFMD adalah disebabkan oleh virus yang biasanya daripada kumpulan coxsackie enterovirus terutamanya virus coxsakcie A16 dan menyebabkan lepuh pada tangan dan kaki, dalam mulut serta di kawasan 'nappy'.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak pun boleh terkena penyakit darah tinggi! Ini punca dan simptom yang ibu bapa perlu tahu

Ia biasanya merupakan penyakit ringan yang berlarutan tujuh hingga 10 hari.

Pakar Kardiologi Pediatrik & Pakar Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, HFMD berlaku terutamanya pada kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, tetapi juga boleh menjejaskan kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa.

Jelas Dr Nomee, jangkitan ini boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair daripada kulit yang melepuh, hidung dan cecair tekak (termasuk air liur, kahak atau hingus), titisan bersin dan batuk serta najis.

Hand-Foot-and-Mouth-Disease-blog-1-800x450-1

HFMD biasanya merupakan penyakit ringan yang berlarutan tujuh hingga 10 hari.

"Kulit melepuh disebabkan HFMD adalah berjangkit sehingga ia kering dan tiada cecair di dalamnya. Kehadiran virus itu juga boleh berada di dalam najis selama beberapa minggu selepas lepuh pada kulit hilang.

"Disebabkan itu juga, faktor kebersihan sangat penting untuk mengelakkan penularan kepada orang lain," katanya.

Simptom HFMD

Dr Nomee menjelaskan pesakit biasanya akan menunjukkan simptom di antara tiga ke tujuh hari selepas dijangkiti penyakit itu dan antara simptom biasa HFMD yang perlu diberikan perhatian adalah;

1. Demam

2. Sakit tekak

3. Kehadiran luka kecil seperti lepuh pada bahagian dalam mulut, tepi lidah, tapak tangan, jari, tapak kaki dan kawasan 'nappy'

4. Kanak-kanak sering meragam, letih dan tiada selera makan

DjHp9n3VAAIL0L8

Jangan picit lepuh pada badan anak kerana cecair di dalamnya boleh menjangkiti orang lain.

Rawatan untuk penyakit tangan, kaki dan mulut

Jelas Dr Nomee, HFMD adalah penyakit ringan yang boleh sembuh dalam tempoh seminggu dan tiada rawatan khusus untuknya.

Bagaimanapun kata Dr Nomee, paracetamol (bukan aspirin) boleh digunakan untuk demam selain banyakkan minum air tetapi elakkan minuman berasid seperti jus oren dan boleh menyebabkan sakit terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami ulser dalam mulut.

"Biarkan lepuh kering secara semula jadi dan jangan cuba pecahkannya kerana cecair di dalamnya boleh berjangkit.

"Jika kanak-kanak yang menghidap HFMD mengadu sakit kepala yang teruk, demam berterusan, selain sebarang gejala yang membimbangkan dapatkan nasihat doktor anda dengan segera," jelasnya.

Apa perlu dilakukan sekiranya anak anda menunjukkan simptom HFMD?

Apabila anak anda menunjukkan simptom HFMD, perkara paling penting yang boleh anda lakukan adalah jangan panik. Ini kerana penyakit itu bersifat 'self-limiting' yang bermaksud ia boleh sembuh dengan sendirinya, sejajar dengan waktu.

HFMD_1650541320

Cuci tangan dengan sabun dan air untuk membunuh kuman.

Namun ada beberapa perkara yang boleh ibu bapa lakukan bagi memastikan anak berada dalam keadaan selesa sepanjang proses pemulihannya. Ini termasuklah;

1. Berikan ubat seperti paracetamul atau ibuprofen (brufen)

2. Sediakan semburan mulut untuk membasmi kuman dan ulser

3. Beli hidangan sejuk dan lembut seperti yogurt, jeli atau smoothie untuk melegakan sakit tekak, elakkan jus dan air soda yang tinggi kandungan asid dan boleh merengsakan tekak

Sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit itu, Dr Nomee menyarankan beberapa perkara boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengurangkan risiko terkena HFMD.

Paling penting katanya, faktor kebersihan sangat membantu mengekang penularan HFMD kepada orang lain.

1. Pastikan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menyentuh pesakit HFMD

2. Basuh pakaian atau mainan yang mungkin tercemar dengan virus itu dengan bersih

3. Bersin dengan menutup mulut menggunakan siku

4. Gunakan peralatan makanan dan minuman berasingan

5. Elakkan berkongsi barangan kebersihan diri seperti tuala, sabun dan berus gigi dan pakaian (terutamanya kasut dan stokin)

6. Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD perlu dikecualikan daripada menghadiri sekolah atau pusat jagaan kanak-knak sehingga pulih. Pastikan keadaan anak dimaklumkan kepada pihak sekolah atau pusat jagaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain