suria

Nak berhenti merokok tapi susah? Cuba tiga langkah mudah ini sebagai permulaan

Ramai yang ingin berhenti merokok tetapi tidak tahu memulakannya.

KANSER paru-paru adalah antara penyebab kematian utama di Malaysia namun ia nampaknya tidaklah terlalu menimbulkan kebimbangan kerana jumlah perokok terus meningkat setiap tahun.

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan 10,000 rakyat negara ini meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok.

ARTIKEL BERKAITAN: Wahai penghisap rokok elektronik, cuba ambil tahu tentang penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik

Sejumlah 49 peratus daripada lelaki dewasa di Malaysia merokok, melebihi kadar di negara maju seperti Britian (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).



Merokok membahayakan kesihatan.

Tabiat ini bukan sahaja boleh menyebabkan kanser paru-paru tetapi tekanan darah tinggi, angin ahmar, penyakit jantung dan mati pucuk.

Meninggalkan tabiat ini memang sukar tetapi ia boleh dilakukan sekiranya mempunyai semangat yang tinggi.

Sebagai langkah permulaan, beberapa perkara ini boleh membantu mengurangkan kesan merokok, sekali gus meninggalkan tabiat itu buat selama-lamanya. Jika tak cuba, pasti kita tidak akan tahu kesannya.

1. Teh Hijau

Teh hijau mempunyai pelbagai manfaat untuk tubuh kerana ia mengandungi anti oksidan yang tinggi. Kajian pada 2018 mendapati anti oksidan pada teh hijau dapat memperbaiki 50 peratus kerosakan sel akibat asap rokok.

Anti oksidan yang ada pada teh hijau ini dikenali sebagai polifenol. Salah satu polifenol yang bermanfaat adalah Epigallocatechin Gallate (EGCG). Ekstrak teh hijau ini dapat meneutralkan radikal bebas dari asap rokok jika diminum secara teratur.

Menurut kajian yang dilkaukan oleh Universiti KU Leuven, anti oksidan dalam EGCG mempunyai kekuatan 100 kali lebih tinggi daripada vitamin C dan 25 kali lebih tinggi daripada vitamin E untuk melindungi tubuh.

EGCG boleh didapati dalam makanan tambahan dan manfaatnya bukan hanya melawan radikal bebas tetapi juga menurunkan kolesterol dan menjaga saluran darah, jantung dan otak yang sihat.

2. Buah-buahan dan sayuran

Perokok aktif dan pasif mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit paru-paru kronik. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, pengambilan makanan sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu mengurangkan risiko.

Ia mampu mengurangkan risiko sebanyak lapan peratus untuk perokok aktif dan empat peratus bagi yang mula berhenti merokok.

3. Kurangkan jumlah rokok

Langkah yang paling asas boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari. Kajian yang dilakukan turut mendapati mengurangkan jumlah rokok daripada 20 ke 10 batang setiap hari akan mengurangkan risiko kanser paru-paru sebanyak 27 peratus.

Daripada 10 batang sehari ia boleh dikurangkan kepada jumlah lebih sedikit sehingga berhenti terus daripada menghisapnya.

Risiko terkena kanser paru-paru boleh dikurangkan sehingga 90 peratus jika perokok memutuskan untuk berhenti sebelum umur 45 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain