Salah jika anggap hanya orang gila perlukan rawatan... Kenali 5 tanda tiba masanya anda berjumpa pakar psikologi

Ramai yang mengambil ringan tentang tekanan yang mereka alami sehingga menyebabkan kemurungan.

SETIAP daripada kita pasti akan mengalami tekanan perasaan, sedih serta menghadapi konflik dalam hidup. Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan berlakunya gangguan mental seperti kemurungan atau kebimbangan melampau (anxiety).

Apabila sudah berada pada tahap itu, bantuan profesional diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut malah pakar psikologi, Daniel J. Reidenberg memberitahu semakin awal seseorang dapatkan rawatan, semakin mudah gangguan mental itu diatasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta... Menangis bukan sebab tak macho tapi tanda kita kuat!

Bagaimanapun sayang, masih ramai yang takut untuk berjumpa dengan pakar psikologi kerana beranggapan bahawa 'orang gila' sahaja yang perlukan rawatan.

Sebenarnya ada beberapa tanda yang boleh menjadi amaran bahawa sudah tiba masanya anda mempertimbangkan untuk berjumpa pakar psikologi.

1. Rasa cemas melampau

Ketika anda berhadapan dengan sesuatu masalah dan berasa cemas melampau, selain berfikir perkara buruk yang bakal terjadi, ia adalah petanda untuk mendapatkan bantuan pakar.

Pakar psikologi, Mary Alvord berkata, rasa cemas melampau dapat mengganggu kehidupan seharian dan boleh menyebabkan serangan panik.

Seeorang itu juga akan menghindar pelbagai perkara selain menjauhkan diri daripada orang lain.

"Jika setiap kali ada masalah anda cemas, panik sehingga menjauhkan diri daripada orang lain, ia adalah waktu tepat untuk dapatkan rawatan," katanya.

2. Gangguan fizikal yang tidak mampu dijelaskan

Tekanan tidak hanya tentang kesihatan mental tetapi juga fizikal. Kajian juga mendapati tekanan dapat memunculkan dirinya dalam pelbagai gelaja secara fizikal.

Ini termasuklah sakit kepala, sakit perut, gangguan penghadaman serta sistem kekebalan tubuh yang lemah. Selain itu, ada sesetengah akan mengalami sakit otot, leher yang biasanya menandakan tekanan emosi.

3. Pengambilan ubat-ubatan

Jika ada yang bergantung kepada ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit atau alkohol, ia juga petanda bahawa anda ingin lari daripada masalah dan tidak cuba menyelesaikannya.

Tidak hanya ubatan atau alkohol, makanan juga boleh menjadi petanda anda berada dalam keadaan tertekan.

4. Produktiviti kerja menurun

Antara punca seseorang mengalami penurunan produktiviti kerja kerana mereka mengalami masalah. Tekanan boleh mengakibatkan tumpuan kita terganggu.

5. Tidak lagi menyukai perkara disukai

Jika sebelum ini anda gemar bersukan tetapi secara tiba-tiba ia bukan lagi keutamaan malah anda tidak gembira melakukannya.

Apabila kesihatan mental mula terganggu, seseorang mula akan rasa tidak memiliki tujuan dalam hidup serta tidak berasa bahagia.

Atas dasar itulah, jika ada yang mula menunjukkan lima tanda ini, segeralah berjumpa pakar dan dapatkan bantuan atau berkongsi masalah dengan orang dipercayai.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain