suria

Awas! Racun makhluk perosak boleh jadi penyebab autisme

Racun makhluk perosak salah satu punca yang menyumbang kepada risiko ASD. - Gambar hiasan/Euronews

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa Gangguan Spektrum Autisme (ASD) adalah sejenis ketidakupayaan yang paling cepat berkembang.

Austime dihidapi kira-kira satu peratus penduduk dunia. Secara matematiknya, terdapat hampir 75.3 juta penghidap autisme di muka bumi ini!

Punca dan misteri di sebalik autisme telah menyebabkan pihak keluarga, doktor dan penyelidik buntu serta terus mencari kemungkinan tentang faktor yang menjadi penyebabnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berhenti cuba ubah anak autisme” - Khairy Jamaluddin dan isteri bicara tentang Timor

ASD adalah keadaan perkembangan neuro yang melibatkan defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi merentas pelbagai tetapan dan situasi. 

Memetik laporan Virgin Islands Daily News, sesetengah orang yang menghidapi autisme mungkin mengalami masalah berkomunikasi, sementara yang lain mungkin akan berdepan masalah dalam situasi sosial.

Tanda-tanda lain termasuk tingkah laku berulang atau tumpuan yang melampau terhadap satu aktiviti.

Keriangan kanak-kanak penghidap autisme ketika diraikan sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2019 yang berlansung di Sunway Putra Mall baru-baru ini.

Tiada sebab tunggal yang menyebabkan ASD berlaku, tetapi pakar profesional perubatan secara umumnya menerima bahawa ia dikaitkan dengan kelainan dalam struktur otak dan fungsinya.

Persatuan Autisme di AS menunjukkan bahawa imbasan otak pada kanak-kanak penghidap autisme adalah berbeza bentuk dan struktur berbanding imbasan otak kanak-kanak yang tidak mempunyai gangguan ini.

Walaupun salah faham tentang vaksinisasi dengan ASD tersebar luas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun hubung kait antara vaksinisasi dan autisme telah dinafikan sejak 1998.

Penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Sumber Autisme Barat Daya AS mendapati autisme mungkin bermula sebelum kemunculan sebarang gejala yang ketara, dan faktor-faktor berikut mungkin memainkan peranan:

1. Racun makhluk perosak

Racun perosak dikaitkan dengan risiko menghidapi ASD. - Shutterstock

Sesetengah kajian mendapati bahawa racun perosak mungkin mengganggu gen yang terlibat dalam sistem saraf pusat.

Bahan kimia ini boleh menjejaskan orang yang cenderung terhadap autisme.

Menurut satu kajian Perspektif Kesihatan Persekitaran yang diterbitkan pada Jun 2014, satu pertiga ibu mengandung daripada 1,043 keluarga yang tinggal berhampiran sebuah kawasan industri pertanian di California, AS dikaitkan dengan pembangunan terjejas.

Hubung kait antara racun perosak dengan risiko menghidapi ASD meningkat sebanyak 60 peratus.

2. Kerentanan genetik

Persatuan Autisme AS menyatakan bahawa ASD cenderung berlaku lebih kerap ke atas individu yang memiliki keadaan perubatan tertentu, termasuk sindrom X yang rapuh, sclerosis tuberous, sindrom rubella kongenital dan fenilketonuria yang tidak dirawat.

Tindakan memasukkan bahan-bahan berbahaya semasa mengandung juga dikaitkan dengan peningkatan risiko autisme ke atas kanak-kanak.

3. Farmaseutikal

Contoh kapsul thalidomide. - Foto Iraber Info

Bayi yang terdedah kepada ubat-ubatan tertentu sejak dalam rahim, termasuk asid valproic yang digunakan untuk sawan dan gangguan mood dan thalidomide didapati mempunyai risiko autisme yang tinggi.

Thalidomide pernah digunakan untuk ibu yang mengalami morning sickness dan kebimbangan melampau (anxiety) serta masih boleh dipreskripsikan sebagai rawatan untuk kanser.

4. Usia ibu bapa

Menurut penyelidik Sistem Kesihatan Davis Universiti California, risiko autisme meningkat dengan usia ibu bapa.

Ibu bapa berusia 40 tahun ke atas lebih terdedah untuk melahirkan anak dengan ASD berbanding jika mereka hamil pada usia 20-an.

Walaupun punca sebenar ASD berlaku masih dikaji sehingga ke hari ini, risikonya boleh dikurangkan dengan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada gangguan tersebut.

Sebagai ibu bapa yang memiliki anak-anak autisme pula, berikan mereka sokongan moral dan bantuan yang diperlukan agar anak tersebut dapat mengatasi cabaran dalam kehidupan seharian.

Tindakan pertama yang harus diambil adalah memberikan anak anda rawatan sewajarnya dengan segera.

autisme, ASD

Artikel Lain