suria

Amallah baca surah Al-Kahfi, penyelamat fitnah Dajal dan ujian akhir zaman

Membaca al-Quran dapat memberi panduan hidup bagi umat Islam dan seterusnya menjadi penyelamat di dunia dan akhirat. Gambar hiasan.

PADA zaman ini kita sebenarnya berada dalam kelompok manusia akhir zaman yang perlu melalui segala ujian dan cabaran hidup berat dan amat mencabar termasuklah diuji dalam bentuk fitnah.

Harus diketahui, ditnah Dajal adalah fitnah yang terbesar buat umat manusia.

Sabda Nabi Muhammad SAW; “Sejak dijadikan Nabi Adam sehinggalah berlakunya kiamat, tidak ada satu fitnah pun yang lebih besar daripada fitnah Dajal.”

Dalam menghadapi ujian yang berat nabi SAW menyarankan kita untuk membaca dan menghafaz surah al-Kahfi.

Nabi SAW bersabda antaranya:

1. “Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari permulaan surah al-Kahfi maka nescaya dia akan dilindungi daripada Dajal” [fitnah dan tipu dayanya].

2. “Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, maka itu merupakan perlindungan baginya dari fitnah Dajal.”

3. “Sesiapa yang membaca satu surah al-Kahfi pada hari Jumaat, terlindunglah dia daripada setiap fitnah selama lapan hari sekali pun fitnah bila Dajal dikeluarkan.”

Kenapa surah al-Kahfi dan bukan surah lain, atau apa kaitan surah al-Kahfi dengan akhir zaman dan apa cabaran umat akhir zaman dan kaitannya dengan apa yang ada dalam surah al-Kahfi?

Kalau kita teliti surah al-Kahfi, terdapat empat kisah dan daripada kisah tersebut Allah menyuruh kita ambil pengajaran daripadanya, adalah seperti berikut:

Kisah pertama

Seperti namanya Surah Al-Kahfi kisah pertama dalam surah al-Kahfi adalah cerita tentang pemuda-pemuda yang terpaksa melarikan diri daripada Raja Diqyanus yang akan membunuh rakyat yang tidak menyembah berhala. Maka pemuda al-Kahfi telah lari dan bersembunyi di dalam gua [al-Kahfi] kerana nak menyelamatkan akidah tauhid kepada Allah.

Penyebaran ajaran sesat adalah antara ujian bagi umat akhir zaman. Gambar hiasan.

Diqyanus akhirnya mengetahui tempat persembunyian pemuda al-Kahfi dan menutup pintu gua tersebut, tetapi Allah telah menyelamatkan mereka dengan menidurkan mereka selama 309 tahun.

Daripada kisah tersebut kalau kita teliti cabarannya adalah mempertahankan akidah daripada kesesatan. Maka itulah juga cabaran umat akhir zaman ini. Menurut senarai ajaran sesat di Malaysia sahaja kita mempunyai lebih 58 ajaran yang telah difatwakan sesat.

Kisah kedua

Kisah dua orang pemuda yang Allah berikan kemewahan dan kenikmatan dunia dengan kebun-kebun tamar, anggur dan buah-buahan lain yang luas tetapi salah seorang daripada mereka kufur nikmat, tidak bersyukur kepada Allah, sombong dan lalai dengan kenikmatan dunia.

Sedangkan seorang lagi terus semakin dekat dengan Allah dengan kenikmatan yang Allah anugerahkan.

Dia memberi nasihat bahawa apa yang ada padanya hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata dan Allah boleh tarik balik dalam sekelip mata sahaja.

Ditakdirkan kebun-kebun pemuda yang lalai tadi Allah musnahkan.

Daripada kisah tersebut maka cabarannya adalah lalai dengan kenikmatan dunia.

Itulah yang nabi SAW takutkan umatnya lalai dengan nikmat dunia yang sementara.

Sedangkan Allah utuskan manusia ke dunia untuk mempersiapkan seberapa banyak bekalan amalan baik untuk bekalan akhirat tapi lain pula yang dicari manusia derhaka.

Kisah ketiga

Kisah Nabi Musa a.s. yang diperintahkan oleh Allah untuk menuntut ilmu dengan nabi Khidir a.s.

Nabi Musa a.s. merasakan bahawa dialah yang paling banyak ilmu sebab telah dilantik menjadi nabi dan rasul.

Manusia yang memperoleh kekayaan namun kufur akan nikmat Allah itu akan mendapat balasan. Gambar hiasan.

Maka cabaran kepada nabi Musa adalah menambahkan ilmu atau dengan kata lain untuk keluar dari situasi kejahilan.

Maka kalau kita perhatikan kisah tersebut maka cabaran umat akhir zaman adalah kejahilan.

Ramai manusia yang tak berminat menuntut ilmu yang mendekatkan diri dengan Pencipta. 

Kuliah Maghrib atau Subuh di kebanyakan masjid dan surau mungkin lebih kurang 50 orang saja hadir tapi kalau ada konsert nyanyian yang melalaikan, 50,000 orang penuh stadium. Inilah cabaran umat ini.

Kisah keempat

Kisah Raja Zulqarnain dengan Yakjuj dan Makjuj. Kisah seorang raja yang memerintah Timur dan Barat tetapi sangat adil apabila diadukan masalah penduduk yang tinggal berdekatan dengan kaum Yakjuj dan Makjuj yang sering mengganggu kehidupan mereka.

Maka mereka telah memohon Raja Zulqarnain untuk membina satu benteng yang menghalang daripada gangguan kaum Yakjuj dan Makjuj dan penduduk tersebut sanggup membayar berapa sahaja upah.

Tetapi Raja Zulqarnain menolak upah mereka dan mengatakan bahawa apa yang Allah kurniakan kepadanya jauh lebih baik dari upah mereka.

Maka cabaran umat akhir zaman adalah pemerintahan yang zalim.

Kalau kita perhatikan di merata dunia manusia dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan tidak mengira kanak-kanak, tua dan muda seperti di New Zealand baru-baru ini 50 orang dibunuh dengan cara permainan PUBG, di Iraq umat Islam lebih dari 1.7 juta di bunuh, Syria, Palestin, Burma dan lain-lain.

Maka merujuk kepada kisah-kisah dalam surah al-Kahfi, dapatlah kita simpulkan bahawa antara fitnah/cabaran dahsyat umat akhir zaman, yang mengiringi sebelum keluarnya Dajal ialah: cabaran mempertahankan dari aqidah sesat; cabaran kejahilan; cabaran penguasa yang zalim; dan cabaran kenikmatan dunia.

Kalau kita tidak dapat mempertahankan diri dari cabaran tersebut maka rugilah kita dunia dan akhirat. Sebab itu dalam ayat ke-10, surah al-Kahfi, pemuda al-Kahfi berdoa kepada Allah; “ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Marilah sama-sama kita baca, fahami dan amalkan surah al-Kahfi dan doa pemuda al-Kahfi.

Semoga kita dilindungi Allah daripada segala fitnah/cabaran yang amat dahsyat ini.

Sebarang pertanyaan boleh diemailkan ke sham.harc@gmail.com.

Kongsilah kisah ini sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian dari amalan jariah kita. InsyaAllah.

Al-Khafi, fitnah, akhir zaman


Artikel Berkaitan

Artikel Lain