suria

Tanpa tunai pun boleh derma, kutip pahala terutama sepanjang Ramadan!

Fahmi (kiri) mencuba mengimbas Kod QR menerusi mesin yang dilengkapkan di Masjid Ar-Rahah Bangsar bagi menyumbang derma untuk golongan memerlukan. Turut hadir Ketua Pegawai Ekskutif TNG Digital Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin dan Pengarah Jawi, Ajib Ismail. Foto ONG SOON HIN

KEDATANGAN Ramadan tidak lama lagi adalah paling dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana ia kesempatan terbaik untuk melipat gandakan ibadah sekaligus mengutip ganjaran pahala seperti dijanjikan Allah SWT.

Selain berpuasa, bersedekah adalah salah satu amalan yang bukan sahaja afdal tetapi memberi keuntungan besar kepada yang melakukannya pada bulan mulia ini.

Kecanggihan teknologi pada hari ini juga bukan lagi alasan untuk tidak menghulurkan derma kerana sudah banyak saluran diwujudkan bagi memudahkan anggota masyarakat menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Tahukah anda dengan menggunakan Touch ‘n Go eWallet (eWallet) pun anda boleh menyalurkan derma?

Syahrunizam (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kerjasama kepada Pengarah Jawi, Ajib Ismail.

Mudah! Hanya dengan mengimbas kod Respon Pantas (Kod QR) di beberapa masjid terpilih di Lembah Klang, anda boleh menderma tanpa was-was malah tidak menggunakan wang tunai.

Program diberi nama 7 Tangkai: Jom Infak itu bukan sahaja efektif dan mudah, malah ia telus apabila setiap transaksi akan dipindahkan terus ke masjid-masjid terlibat.

Program itu hasil usaha TNG Digital Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang dirasmikan di Masjid Ar-Rahah Bangsar pada Khamis.

Ia dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Ekskutif TNG Digital Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin dan Pengarah Jawi, Ajib Ismail.

Fahmi menyifatkan pengenalan program 7 Tangkai: Jom Infak dapat memberi manfaat sejajar dengan perkembangan teknologi.

Sementara itu, Syahrunizam berkata, pihaknya tampil dengan program itu dalam membentuk tingkah laku baru dan mengubah cara sumbangan derma konvensional sebelum ini dengan lebih telus dan efisien.

Malah katanya, setakat ini 10 masjid sudah mempunyai sistem itu dan menjangka angka itu bertambah kepada 40 menjelang akhir tahun ini.

Buat mereka yang ingin menderma menggunakan sistem Kod QR ini hanya perlu memuat turun aplikasi eWallet seterusnya mendaftar dan mengisi tambah nilai.

Apabila ke masjid yang mempunyai Kod QR, anda hanya perlu mengimbas dan memasukkan nilai derma sebelum memasukkan kata laluan profil dan tekan hantar.

Sebanyak 10 masjid yang telah dilengkapi dengan kemudahan Kod QR iaitu:

1. Masjid Ar-Rahah, Bangsar

2. Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Menjalara

3. Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati

4. Masjid Jamek, Kampung Baru

5. Masjid Muaz Bin Jabal, Setiawangsa

6. Masjid Abd Ar-Rahman Auf, Taman Yarl

7. Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru

8. Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju

9. Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail

10. Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail

e-Wallet, masjid, derma, Ramadan

Artikel Lain