Menikmati menu tradisi negara dan barat pada ketinggian 282m, Menara KL saji momen menarik buat pengunjung - Selera | mStar

Menikmati menu tradisi negara dan barat pada ketinggian 282m, Menara KL saji momen menarik buat pengunjung

Foto kredit: atmosphere360

MENJADI penghuni warga kota tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Restoran Berputar Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur yang terletak pada ketinggian 282 meter.

Mana tidaknya kerana pengalaman menarik bakal menanti pengunjung kerana mereka boleh mendapat dua perkara dalam satu masa.

Pertama, pengunjung akan dihidangkan dengan aneka juadah bermula dengan tradisional Malaysia, selain menu barat yang sememangnya disediakan oleh chef-chef berpengalaman.

Kebiasaannya apabila tiba di restoran, pengunjung akan hanya menikmati hidangan, tetapi tidak di restoran tertinggi di negara ini yang turut membuatkan mata pengunjung terpegun dengan pemandangan luar biasa sekitar ibu negara.

Pemandangan ibu kota dari Restoran Berputar Atmosphere 360

Jangan terkejut sekiranya ketika anda sedang menjamu selera, kedudukan tempat makan akan berubah-ubah mengikut pusingan 360 darjah secara perlahan-lahan.

Lokasi yang menarik untuk treat  keluarga tersayang, kekasih atau kawan-kawan yang mahukan kelainan.

Menurut Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin, restoran ini menawarkan pelbagai makanan menarik dengan harga yang perpatutan.

Shahriman yakin restoran berputar ini memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

"Setiap bulan kami mengadakan pelbagai promosi hidangan mengikut keistimewaan tersendiri. Sejak November tahun lalu kami mengadakan tour  mempromosikan makanan tradisional Malaysia.

"Kami bermula dengan promosi makanan Pahang, diikuti Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah pada Januari tahun ini.

"Dan Februari lalu, sempena sambutan Tahun Baru Cina, kami menyedia bufet Chinese Food sepanjang bulan. Di samping itu ada juga makanan barat yang disediakan untuk pelancong-pelancong luar negara, manakala pada Mac, kami menyediakan makanan tradisional Kelantan bermula dengan bufet tengah hari, minum petang dan, juga makan malam.

Antara hidangan istimewa yang disediakan di restoran tertinggi Malaysia ini. Foto kredit: atmosphere360

"Ia akan beterusan sehingga sembilan negeri dan selepas itu disusuli promosi untuk makanan Sabah dan Sarawak.

"Promosi ini dibuat memandangkan ramai pengunjung luar negara datang menikmati hidangan di sini dan kami tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi pengalaman berbeza kepada mereka," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

Dalam pada itu Shariman memberitahu persepsi masyarakat tempatan yang menganggap restoran ini hanya untuk golongan berada adalah salah.

Promosi makanan Negeri Kedah sepanjang Disember lalu. Setiap bulan berbeza negeri. Foto kredit: atmosphere360

"Sebenarnya harga yang kami tawarkan sangat berbaloi dengan apa yang pengunjung akan dapat.

"Menikmati pelbagai makanan yang enak sambil berada di paras ketinggian 282 meter, bagi saya itu sesuatu yang sukar dilupakan dan tidak ada di mana-mana tempat lain di Malaysia.

"Pengunjung boleh melayari laman web atmosphere360 kami untuk mengetahui promosi harga yang ditawarkan," jelasnya.

Artikel Berikut