suria

Rehatkan minda di 7 lokasi mural sekitar Malaysia… Yang penting tetap Insta-worthy!

Artis tempatan sering dijadikan sebagai penghias dinding menerusi mural.

KESIBUKAN kerja pasti melelahkan terutama mereka yang tinggal di ‘kota batu’, nak bercuti bersama keluarga pula memerlukan perancangan rapi dan bajet.

Bagi yang sudah terbiasa merehatkan diri di lokasi-lokasi percutian popular mahupun pulau peranginan, anda pasti buntu mencari destinasi yang mampu memberikan ketenangan dalam tempoh yang singkat serta tidak memerlukan perjalanan jauh.

Namun jangan risau, Malaysia mempunyai pelbagai lokasi menarik yang ‘rare’ (jarang ditemui) dan menepati citarasa anda seperti bangunan yang dihiasi dengan karya seni jalanan atau street art seperti mural.

Ia bukan sahaja cantik dan menarik kerana berkonsepkan 3D, malah mempunyai ‘sejarah’ tersendiri sekali gus membuatkan anda leka ketika melihatnya.

Menerusi ruangan travel kali ini, mStar berkongsi tujuh lokasi menarik ‘street art’ yang dapat membantu anda merehatkan fikiran, dan paling penting tentunya tidak memakan belanja yang besar tetapi tetap Insta-worthy!

Jangan lupa untuk OOTD (Outfit of the day) juga supaya anda merasakan diri seolah-olah pelancong yang sedang bercuti di lokasi mewah.

Lukisan mural RoL mempunyai penceritaannya tersendiri. -DBKL

Lukisan mural RoL mempunyai penceritaannya tersendiri. -DBKL

1) River of Life (RoL) di Masjid Jamek, Kuala Lumpur

Dinding bangunan yang terletak bersebelahan River of Life sudah diwarnai dengan mural yang berwarna warni serta mempunyai penceritaan tersendiri.

Anda boleh mencari ketenangan di lokasi istimewa ini, sama ada pada waktu siang mahupun malam kerana selain dapat menyaksikan mural, anda juga berpeluang melihat kolam biru yang sangat cantik dan mendamaikan.

Landskapnya juga semakin ceria di samping beberapa tumbuhan hijau beserta kerusi rehat untuk anda bersantai bersama keluarga. Pasti menjanjikan pengalaman yang berbeza!

Lukisan dinding yang terdapat di salah satu bangunan lama sekitar Muar. - Kaki Travel

Lukisan dinding yang terdapat di salah satu bangunan lama sekitar Muar. - Kaki Travel

2) Street Art Muar, Johor

Bandar Muar merupakan destinasi pelancongan yang menarik untuk dilawati. Selain sinonim dengan mi bandung dan asam pedas, ia juga menyajikan halwa mata yang menarik menerusi lukisan dinding yang bermotifkan aktiviti kesenian dan budaya.

Nikmati suasana di pusat bandar di samping kira-kira 30 seni jalanan yang tersembunyi di jalan-jalan sempit sekitar Muar.

Buat pengetahuan anda, mural The Loving Sisters yang dilukis oleh Julia Volchkova iaitu seorang artis mural Rusia di Jalan Arab, diiktiraf sebagai lukisan potret seni jalanan terbesar oleh Malaysia Book of Records pada 2016.

Terdapat lebih 30 lukisan mural berkonsepkan pelbagai genre. – Instagram Tourism Negeri Sembilan

Terdapat lebih 30 lukisan mural berkonsepkan pelbagai genre. – Instagram Tourism Negeri Sembilan

3) Lorong Seni Seremban, Negeri Sembilan

Lorong Seni Seremban mempunyai lebih 30 lukisan mural berkonsepkan pelbagai genre, graffiti, doodle, avant-garde, poster, lukisan warisan dan beberapa elemen lain yang turut dijadikan tema supaya kelihatan lebih segar serta selesa dilalui.

Keunikannya membolehkan anda mengabadikan kenangan atau Ootd sekali gus menghargai bakat-bakat pelukis jalanan yang terdiri daripada enam pelukis tempatan.

Kawasan ini merupakan hasil daripada inisiatif Majlis Bandaraya Seremban untuk mengubah lorong belakang bangunan pada masa sama menyampaikan mesej untuk menentang stigma negatif menerusi seni yang dipaparkan.

Untuk pengetahuan anda, ia melibatkan laluan sepanjang 250 meter, pasti pelbagai lagi lukisan dinding menarik menanti anda. Jangan ketinggalan ya!

Karya dinding yang dilukis oleh pelajar dan staf ALFA menceritakan kehidupan di KKB. – Central

Karya dinding yang dilukis oleh pelajar dan staf ALFA menceritakan kehidupan di KKB. – Central

4) Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor

Terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Kuala Lumpur, lokasi ini terkenal dengan tarikan aktiviti semula jadi seperti water tubing dan water rafting.

Menariknya, terdapat seni jalanan di mana terdapat lapan lukisan mural yang dilukis oleh 40 pelajar dan staf Kolej ALFA Kpada 2014 yang menggambarkan kehidupan di bandar itu.

Antara street art gergasi yang terdapat di bangunan lama sekitar Hin Bus Depot. – Footstep

Antara street art gergasi yang terdapat di bangunan lama sekitar Hin Bus Depot. – Footstep

5) Hin Bus Depot, Pulau Pinang

Berada berhampiran Menara Komtar, pastinya mudah untuk anda ke lokasi ini.

Meskipun kelihatan seperti kawasan terbiar, namun lokasi ini mempunyai lukisan mural yang cantik dan sesuai untuk anda mengabadikan kenangan di laman sosial.

Selain itu, lokasi ini juga meriah dengan pasar kraf dan muzik jalanan untuk anda rehatkan fikiran. Tapi hanya hari-hari tertentu sahaja ya!

Hasil karya mural menghidupkan semula lorong di belakang bangunan. – Mahamahu

Hasil karya mural menghidupkan semula lorong di belakang bangunan. – Mahamahu

6) Bangunan lama Jalan Gopeng Kampar, Perak

Perak terkenal dengan negeri yang mempunyai pelbagai lokasi menarik dan bersejarah untuk dikunjungi.

Kini ia diindahkan lagi dengan lukisan dinding berwarna warni yang pastinya setiap karya tersebut adalah hasil seni terperinci dan kelihatan seperti ‘hidup’ sejajar dengan objektif pelancarannya iaitu mahu menghidupkan semula lorong-lorong belakang bangunan yang selama ini terbiar.

Mural yang dilukis adalah berinspirasikan tradisi, sumber alam semula jadi dan industri.

Semuanya dilukis oleh pelukis tempatan!

Lukisan mural 3D yang menaikkan imej bandaraya Sibu sebagai tarikan pelancongan. - UKAS

Lukisan mural 3D yang menaikkan imej bandaraya Sibu sebagai tarikan pelancongan. - UKAS

7) Sibu, Sarawak

Sektor swasta digalakkan menyokong kreativiti karya lukisan mural artis tempatan dalam usaha mengindahkan bandar Sibu.

Seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee berkata, Sibu merupakan sebuah bandar yang memiliki bangunan warisan serta berpotensi dibangunkan sebagai lokasi pelancongan menerusi penghasilan lukisan mural artis tempatan.

Dengan memulakan inisiatif lukisan mural di Ramin Way, ia yang bukan sahaja memberi nafas baharu malah menjadi tarikan pelancong tempatan yang berkunjung ke Sibu.

Pada 12 Mei lalu pula, lukisan 3D Mural yang bertajuk ‘You Lu’ di Stesen Minyak Shell Gorgeous Trading Sdn Bhd dirasmikan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain